
Dulu, mendapat kontrak dengan syarikat rakaman besar mungkin dianggap antara kemuncak perjalanan seseorang penyanyi.
Namun landskap muzik hari ini semakin berubah. Ada artis memilih untuk menerbitkan karya sendiri, membina syarikat sendiri, mengurus pasukan sendiri malah memastikan hak terhadap rakaman mereka kekal dalam genggaman sendiri.
Persoalannya, apabila artis menjadi bos kepada kerjaya mereka sendiri, adakah semuanya benar-benar lebih mudah?
Jawapannya mungkin tidak. Kebebasan berkarya datang bersama satu perkara yang sama besarnya, tanggungjawab dan risiko.
Artikel Berkaitan: Dah Sebati Dengan Suara Mereka, Rupanya Untuk Orang Lain! 5 Kisah Lagu Popular Bertukar Penyanyi
Artikel Berkaitan: ‘Pergi Bertanding Tak Dapat Duit Atau Elaun Dari Syarikat Rakaman’ – Ziana Zain
Ezad Lazim: Daripada Penyanyi Kepada Pemilik Label
Contoh terbaharu dapat dilihat menerusi penyanyi, Ezad Lazim yang secara rasmi menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, EZ Record, selepas lebih tiga dekad berada dalam industri muzik.
Menurut laporan Bernama, keputusan itu antara lain dibuat sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerjayanya. Ezad turut mahu memastikan hak milik asal atau master rights serta royalti daripada lagu-lagu baharunya berada di bawah pengurusannya sendiri.
Malah, single terbaharunya, Rasa Cinta, diterbitkan di bawah EZ Record dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia. Langkah tersebut memperlihatkan satu perubahan menarik dalam cara artis melihat kerjaya mereka.
Bukan hanya soal menyanyi hari ini, tetapi bagaimana karya yang dihasilkan boleh terus menjadi aset pada masa hadapan.
Kebebasan Kreatif, Tapi Modal Pun Sendiri
Menjadi artis bebas atau memiliki syarikat sendiri bermakna seseorang artis mempunyai lebih banyak ruang menentukan hala tuju muzik, imej, persembahan dan projek yang mahu dihasilkan. Tetapi semakin besar kawalan yang dimiliki, semakin besar juga risiko yang perlu ditanggung.
Penyanyi, Aina Abdul antara artis tempatan yang pernah berkongsi realiti tersebut. Ketika merancang Aina Abdul Imaji Tour, penyanyi itu mendedahkan setiap lokasi konsert memerlukan perbelanjaan sekitar enam angka.
Aina turut berkata dia sanggup menggunakan wang simpanan sendiri bagi menjayakan konsert tersebut selepas berdepan kesukaran mendapatkan tajaan yang sesuai dengan konsep serta hala tuju persembahannya. Kos itu ditanggung menerusi syarikatnya, Aina Abdul Entertainment.
Di sinilah kebebasan kreatif bertemu realiti perniagaan. Apabila artis sendiri menjadi penerbit atau penganjur, mereka boleh menentukan bagaimana sesuatu projek mahu dilaksanakan.
Tetapi jika kos meningkat, tiket kurang terjual atau tajaan tidak diperoleh, sebahagian risiko kewangan itu juga perlu ditanggung sendiri.
Bila Penyanyi Perlu Berfikir Seperti CEO
Menubuhkan label sendiri bukan sekadar meletakkan nama syarikat pada kulit album. Ia turut bermaksud artis mula berdepan perkara yang sebelum ini mungkin dikendalikan oleh syarikat rakaman seperti produksi, pengedaran, pemasaran, kontrak, pasukan kreatif, bajet dan pembangunan artis.
Pengasas Kartel Records, penyanyi rap Joe Flizzow, pernah menceritakan pengalaman tersebut dalam temu bual bersama LIFTED Asia.
Selepas beberapa album bersama EMI ketika bersama Too Phat, Joe memilih membangunkan label sendiri. Dalam temu bual itu, beliau menjelaskan bagaimana dirinya terlibat mengurus produksi album, berhubung dengan jurutera mastering dan pengurus artis serta membentuk sendiri pasukan untuk projeknya.
Antara perkara yang dihargainya ialah mempunyai lebih banyak kawalan terhadap apa yang dibina. Dalam erti kata lain, apabila artis meninggalkan sistem label tradisional, kerja yang dilakukan label tidak semestinya hilang.
Kenapa ‘Master Rights’ Begitu Penting?
Istilah master mungkin kedengaran teknikal, tetapi ia semakin kerap menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai hak artis.
Secara asasnya, sesebuah lagu boleh melibatkan hak terhadap komposisi muzik dan hak terhadap rakaman bunyi sebagai dua karya yang berasingan.
Pemilik hak cipta rakaman mempunyai hak tertentu berkaitan penggunaan, pengeluaran semula, pengedaran dan pemberian kebenaran terhadap karya tersebut, tertakluk kepada undang-undang serta kontrak berkaitan.
Jadi apabila Ezad menyebut mengenai keinginannya memastikan master rights karya baharu kekal di bawah pengurusan sendiri, ia bukan sekadar soal mahu mempunyai label sendiri.
Jadi, Label Rakaman Dah Tak Penting?
Mungkin tidak, hakikat artis kini boleh bergerak sendiri tidak bermaksud syarikat rakaman sudah hilang fungsinya.
Label mempunyai perkara yang tidak semestinya mudah dibina seorang artis secara bersendirian iaitu modal, kakitangan, kepakaran pemasaran, jaringan industri, sokongan undang-undang, pengedaran serta kemampuan membawa muzik ke pasaran lebih besar.
Bebas Bukan Bermaksud Lebih Mudah
Apabila artis menjadi bos sendiri, mereka mendapat sesuatu yang sangat berharga iaitu pilihan.
Pilihan dalam menentukan muzik yang mahu dihasilkan, membentuk pasukan, menentukan bagaimana nama mereka dipasarkan dan dalam keadaan tertentu, pilihan untuk memastikan aset muzik terus berada dalam kawalan sendiri.
Tetapi semakin banyak kawalan yang diambil, semakin banyak tanggungjawab yang perlu dipikul. Artis bukan sahaja perlu bertanya sama ada lagu mereka cukup bagus.
Mereka mungkin perlu memikirkan sama ada projek itu mampu menampung kos produksi, bagaimana membayar pasukan, bagaimana mencari penaja, siapa mengurus kontrak dan bagaimana karya itu boleh menjana pendapatan untuk tempoh panjang.
Mereka bukan lagi sekadar artis. Mereka juga sedang membina sebuah perniagaan di sekeliling nama sendiri dan mungkin itulah harga sebenar menjadi ‘bos sendiri’.
Bukan sekadar perlu berani menghasilkan karya mengikut kehendak sendiri, tetapi bersedia menanggung risiko, kos dan tanggungjawab terhadap masa depan karya tersebut.
Sumber: Bernama, mstar, LIFTED Asia







