Penyanyi meningkat naik, Arghpiez tidak berkecil hati sekiranya masih ada segelintir pihak yang lebih mengenali lagu hit miliknya berjudul Harapalsu berbanding dirinya sebagai penyanyi karya tersebut.

Artikel Berkaitan: OBPVO: Anna Jobling Dinobat OhBulan! Paling Viral Online 

17 juta dalam 5 bulan

Arghpiez, 25, berkata, perkara tersebut sama sekali tidak menyinggung perasaannya, malah menganggap lagu berkenaan sudah cukup mewakili identiti dirinya dalam industri muzik.

Saya tidak kisah, malah tidak mengambil hati jika ada segelintir yang kata lagu Harapalsu lebih dikenali atau lebih ‘famous’ berbanding penyanyi lagu tersebut.

Pada saya, lagu itu sendiri sudah mewakili siapa penyanyinya iaitu saya, Arghpiez. Itu sudah cukup buat saya terharu.

Dalam pada itu, anak muda kelahiran Selangor ini turut meluahkan rasa syukur apabila Harapalsu berjaya mencatat jumlah penstriman yang memberangsangkan dalam tempoh singkat sejak dilancarkan.

Saya sangat bersyukur apabila lagu Harapalsu mendapat tempat di hati pendengar dan berjaya meraih lebih 17 juta penstriman di semua platform digital.

Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak termasuk individu yang terlibat dalam pembikinan lagu Harapalsu, serta para pendengar yang terus menyokong karya saya.

Ditanya mengenai persaingan dengan penyanyi baharu lain yang semakin ramai muncul dalam industri muzik tempatan, Arghpiez menyifatkan situasi tersebut sebagai satu perkembangan positif.

Apabila ramai penyanyi baharu muncul setiap tahun, saya melihatnya sebagai persaingan yang sihat. Keadaan ini menjadikan industri muzik kita lebih meriah dengan pelbagai warna dan kreativiti.

Semakin ramai penyanyi, semakin banyak idea dan karya yang lahir. Untuk terus bersaing dan kekal relevan, saya akan sentiasa berusaha menampilkan karya terbaik untuk pendengar.