Penyanyi Shiha Zikir kembali menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Melodi Perkenal MV ‘Lagu Raya Untukmu’ Nyanyian Hael Husaini, Gabung Elemen Moden & Klasik

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aliff Syukri Tampil Dengan Lagu Raya ‘Mama Papa Raya’, Netizen Approved – ‘Tahun Ni Sedap!’

Bawa memori manis

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dan Giant Malaysia, sekali lagi bekerjasama selepas kejayaan lagu Tum Tum Raya pada tahun lalu.

Menurut Shiha, lagu Memori Raya ini membawa elemen nostalgia yang mengingatkan pendengar kepada kenangan indah ketika menyambut Hari Raya.

Walaupun melodinya riang dan mudah diingati, lirik lagu ini mampu menyentuh hati pendengar serta membangkitkan memori manis bersama keluarga.

Lagu ini sebenarnya membawa pendengar kembali kepada kenangan lama ketika menyambut Hari Raya.

Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak.

Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat kembali kenangan lama.

Kata Shiha, lagu ini dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves yang berjaya menyiapkan karya tersebut dalam tempoh singkat mengikut konsep yang diinginkan.

Tambahnya lagi, sebelum ini dia lebih banyak menghasilkan lagu raya berentak tradisional dan joget, tetapi kali ini dia mahu mencuba sesuatu yang lebih segar dan moden.

Bercerita mengenai mesej lagu tersebut, Shiha berkata Memori Raya menggambarkan kenangan Aidilfitri yang sering dikaitkan dengan kampung halaman, pertemuan keluarga, dan masa berkualiti bersama insan tersayang.

Walaupun kedengaran klise, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita semua akan teringat kembali kenangan di kampung, bertemu ibu bapa serta saudara-mara ketika musim perayaan.

Idea spontan

Shiha turut berkongsi bahawa idea menghasilkan lagu ini tercetus secara spontan ketika bulan Ramadan, dan proses penghasilan dilakukan dengan pantas.

Walaupun keputusan untuk menghasilkan lagu ini dibuat dalam masa yang singkat, saya tetap mahu memastikan semuanya berjalan lancar.

Selain untuk diri saya sendiri, saya juga gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam menjayakan projek ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, mengenai kerjasama bersama, Shiha menyatakan kegembiraannya kerana dapat berinteraksi dengan lebih ramai orang melalui pelbagai kempen dan aktiviti menarik.

Saya dapat mendekati dan mengenali ramai orang di luar sana kerana Giant banyak membantu masyarakat.

Oleh itu, saya berpeluang untuk sertai mereka dalam membantu orang ramai menerusi kempen dan aktiviti yang mereka adakan.

Jika tahun lalu kami membantu orang ramai membeli barang-barang dapur, untuk tahun ini pula, nantikan bagaimana pula.

Lagu ini beza dengan tahun sebelumnya

Sementara itu, menurut Encik Andre Lim, Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Shiha bukan sahaja seorang selebriti, malah memiliki personaliti ceria dan bertenaga yang dekat dengan masyarakat dari pelbagai lapisan, sejajar dengan profil pelanggan Giant.

Kerjasama kami dengan Shiha Zikir dan Shiha Zikir Empire tahun lalu membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan.

Shiha mempunyai personaliti yang ceria dan dekat dengan masyarakat, dan bagi kami konsistensi adalah kunci dalam membina kepercayaan jenama.

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Giant Malaysia turut memperkenalkan kempen utama bertema ‘Jimat Berganda, Raya Bergaya’ yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik.