Sambutan konvoi sempena pengesahan ahli baharu sebuah perguruan silat di Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah, Indonesia bertukar tragedi apabila seorang pesakit kritikal dilaporkan meninggal dunia selepas ambulans yang membawanya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Artikel Berkaitan: Pelakon Meninggal Dunia, Pengsan Ketika Live TikTok

Dihalang konvoi silat

Kejadian yang berlaku pada malam Sabtu lalu itu dikatakan berpunca daripada konvoi membabitkan sekumpulan individu berpakaian serba hitam yang memenuhi laluan utama Solo–Tawangmangu.

Ketika itu, ambulans yang membawa seorang pesakit dikenali sebagai Hadi Sukat, 60, dari Karangpandan sedang dalam perjalanan ke Pusat Kesihatan (Puskesmas) Karangpandan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di pusat kesihatan berkenaan, Hadi disahkan meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa meluahkan rasa kecewa kerana percaya nyawa Hadi mungkin dapat diselamatkan sekiranya ambulans diberikan laluan dengan segera.

Jenazah Hadi kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum (TPU) Nongko 2, Dusun Gedangan, Desa Karangpandan, Kecamatan Karangpandan, Kabupaten Karanganyar.

Sumber: Sinar Harian