
Pelakon yang juga aktivis jalan raya, Lando Zawawi berkongsi kisah sebenar yang menjadi punca kepada perjuangannya memulakan inisiatif untuk menurap jalan berlubang di seluruh negara.
Artikel Berkaitan: Guna Duit Sendiri Turap Jalan, Lando Zawawi & Brotherhood Sedang Uji Bahan Rekaan Terbaru
Lando hilang sahabat baik

Menurut Lando atau nama lengkapnya Azlan Sani Zawawi, usaha itu bermula selepas dirinya kehilangan sahabat baik yang maut dalam satu kemalangan berpunca daripada kerosakan jalan.
Pertama kali saya turap jalan sebab kawan saya meninggal dunia selepas terlibat kemalangan.
Nama dia arwah Yusri dan dia menunggang motorsikal berkuasa tinggi.
Kejadian berlaku selepas dia hantar anak dia ke sekolah dan dalam perjalanan ada sebuah kereta di hadapan dia cuba mengelak lubang kumbahan lalu terlanggar kawan saya yang cuba memotong.
Kemudian kawan saya terbabas langgar lori di hadapan dia sebelum terbakar.
Punca masih dibiarkan?
Dakwa pelakon filem ‘Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam’ itu, kerosakan jalan raya yang masih dibiar tanpa sebarang tindakan menjadi punca dia mengambil inisiatif sendiri.
Selepas dua minggu kejadian itu, kerosakan itu masih ada lagi walhal arwah kawan saya dah ditanam dah tetapi punca itu masih lagi ada.
Saya macam, ‘Kalau ini puncanya kenapa tak ada siapa yang turap atau palam?’
Jadi saya ambil keputusan untuk turap sendiri kerosakan tersebut.
Lando kemudiannya memaklumkan dia berasa lega kerana tindakan tersebut telah memudahkan urusan pengguna jalan raya yang lain.
Ujarnya, tindakan itu juga membuatkan dirinya berasa tenang dan mengambil keputusan untuk membantu menurap ribuan lubang di jalan seluruh Malaysia.
Jadi bila saya turap lubang itu, saya nampak kereta dah tak mengelak.
Pengguna jalan raya lain guna jalan itu pun dah lebih lancar.
Bila nampak saja, hati saya jadi tenang dan rasa macam ini sesuatu yang bagus.
Dan sejak itu, saya dah turap beribu lubang jalan di Malaysia dan ia selalu membuatkan hati saya berasa tenang.
Sumber: TikTok








