Berapa peratus daripada gaji bulanan yang korang ketepikan untuk disimpan sebagai persediaan di hari tua kelak? Kami yakin ada pelbagai jawapan dan kebanyakanya mengikut kemampuan berdasarkan gaji, betul tak?
Kalau korang masih belum mula menabung, elok mulakan sekarang tau! Bukan apa, kata orang sediakan payung sebelum hujan.
Tak dapat dinafikan nak menyimpan duit sendiri memang agak mencabar. Ditambah pula sekarang dah ada pelbagai bantuan dari kerajaan termasuklah pengeluaran awal daripada skim persaraan dan sebagainya. Tapi, ini tak menjadi satu lesen untuk korang berbelanja sesuka hati tanpa perlu menyimpan.
Jangan dihabiskan duit korang tu pada benda yang tak penting guys. Kami faham bila dah ada duit, tangan tu memang gatal je rasa nak membeli. Tiba-tiba rasa nak beli merchandise Kpop, nak upgrade phone baru dan ada juga yang nak beli kereta baru hanya sebab nak bergaya dan menunjuk.
OHBULAN! nak ingatkan korang, tak perlulah diikutkan sangat keinginan hati yang akhirnya boleh memakan diri. Beringat-ingatlah dalam berbelanja dan fikirkan masa depan.
Apa kata korang mula lebihkan wang untuk disimpan, tak rugi pun tau. Malah, duit yang disimpan ni untuk korang nikmati di hari tua. Jom kami kongsikan aktiviti best yang korang boleh buat dengan wang simpanan persaraan nanti!
Melancong ke destinasi pilihan
Ambil peluang ini untuk bercuti ke destinasi pilihan korang! Yelah, kalau sebelum ini dah penat bekerja dan simpan duit sakan, sekarang tibalah masanya untuk korang nikmati segala hasil simpanan korang tu.
Pilihlah destinasi yang paling korang idam-idamkan untuk lawati. Kalau ada lebih, korang juga boleh mengembara mengelilingi dunia. Pengalaman seperti ni memang mahal harganya. Tak semua orang berpeluang mengembara ke seluruh dunia, tapi kalau korang mampu apa salahnya :)
Buat semua aktiviti dalam bucket list!
Mencecah usia persaraan, mungkin kebanyakan daripada benda yang korang nak sangat lakukan dah tercapai. Tapi kalau masih ada perkara dalam bucket list korang yang belum tertunai, jom buat sekarang!
Dah berusia bukan bererti tak boleh berseronok tau. Malah, inilah masa yang paling sesuai sebab dah berkemampuan dan ada kelapangan masa.
Senang kata dah takde apa lagi yang perlu korang risaukan masa ini. Boleh fokus sepenuhnya pada apa yang korang nak sangat lakukan.
Miliki rumah idaman
Bina atau belilah rumah impian yang dah lama korang idam-idamkan! Bila dah bersara kebanyakan masa akan dihabiskan di rumah, jadi persekitaran rumah yang selesa adalah sangat penting.
Kalau korang dah bosan tinggal di bandar, apa kata tukar angin dengan berpindah ke kawasan luar bandar pula. Lebih tenang dan aman. Bayangkan kehidupan kampung yang dikelilingi kehijauan? Wow!
Buat amal jariah dan tambah pahala!
Dalam kesibukkan membuat perancangan untuk pelbagai aktiviti tu, jangan lupa untuk ketepikan sedikit dana persaraan korang untuk membantu orang lain dengan melakukan amal jariah.
Nak berseronok tak salah, tapi lebih manis kalau kita dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik. Percayalah, bila bersedekah rezeki tak akan sedikit pun berkurangan. Sebaliknya, ia dapat menyucikan harta dan wang simpanan korang.
Jom menyimpan untuk masa depan yang lebih sejahtera
Haa mesti korang pun dah ada macam-macam idea nak buat apa bila bersara nanti kan? Dah berangan nak ke sana-sini dengan duit yang ada dan semua tu tak mustahil jika kita pandai merancang perbelanjaan dari sekarang.
Jadi, menyimpanlah dan jangan terlalu mengikut hawa nafsu ketika berbelanja. Apa yang penting ialah masa depan kita apabila bersara nanti terjamin dan sejahtera tanpa dibebani sebarang masalah kewangan.