Sudah lapan kali melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tanpa memenangi sebarang trofi, penyanyi Hazama tidak melihat perkara itu sebagai satu kegagalan dalam perjalanan seninya.

Bagi penyanyi berusia 42 tahun itu, kesempatan membawa sesebuah karya sehingga ke pentas akhir sudah cukup besar nilainya, lebih-lebih lagi apabila setiap tahun banyak lagu bersaing untuk merebut tempat di AJL.

ARTIKEL BERKAITAN: #ThrowbackXTRA: Hazama Imbau Kembali Perjalanan Pengalaman Sertai AJL, Banyak Belajar Untuk Kekalkan Konsep ‘Minimalist’

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya Sudah Diberikan Bekalan Yang Cukup Untuk Bertahan Dalam Industri’ – Hazama

10 Kali Atau Lebih Pun Tak Ada Masalah

Pada AJL40 yang berlangsung 15 Ogos lalu, Hazama mempertaruhkan Semacam Pandora, namun sekali lagi menamatkan saingan tanpa sebarang trofi.

“Kalau masuk lapan kali, 10 kali atau lebih pun saya tak ada masalah. Mungkin setakat ini belum ada rezeki saya untuk naik podium.

“Saya tak jadikan perkara itu sebagai sebab untuk kecewa. Tujuan saya buat muzik adalah supaya orang dengar dan nikmati karya tersebut. Apabila lagu berjaya sampai ke AJL, bagi saya itu sendiri sudah satu pencapaian,” katanya.

Bagaimanapun, Hazama melihat setiap penyertaannya sebagai gambaran perkembangan diri sepanjang bergelar penyanyi.

Evolusi Sepanjang Penyertaan AJL

Katanya, jika dahulu dia hadir sebagai penyanyi yang membawakan karya ciptaan orang lain, kini dia sudah mampu berdiri di pentas sama menerusi hasil ciptaannya sendiri.

“Perjalanan saya di AJL berubah dari satu fasa ke satu fasa. Dulu saya bermula dengan menyanyikan lagu orang, termasuk bersama mentor saya, Datuk Amy Search. Selepas itu saya bekerjasama dengan beberapa komposer dan perlahan-lahan mula terlibat dalam penciptaan.

“Kali ini saya datang dengan lagu sendiri. Sebab itu saya rasa saingan sebenar saya bukan dengan peserta lain. Saya lebih mahu melihat sejauh mana saya berkembang berbanding diri saya yang dulu,” katanya.

Sementara itu, Hazama mengakui gembira apabila konsep ringkas yang dibawakan untuk persembahan Semacam Pandora mendapat maklum balas positif daripada penonton.

Menurutnya, pendekatan minimalis itu dibuat secara sengaja kerana mahu kekuatan lagu dan vokal menjadi tumpuan utama.

“Saya mahu penonton dengar lagu dan lihat apa yang saya boleh sampaikan sebagai penyanyi. Tak semestinya setiap persembahan perlu dipenuhi prop atau gimik.

“Ini Anugerah Juara Lagu, jadi bagi saya lagu itu sendiri patut diberikan ruang untuk menyerlah,” katanya.

Persembahan Sederhana Bukan Kerana Kekangan

Hazama turut menafikan persembahan sederhana tersebut dibuat kerana kekangan perbelanjaan.

Sebaliknya, selepas tujuh kali mencuba pelbagai pendekatan di pentas AJL, dia mahu memberikan sesuatu yang lebih ringkas tetapi tetap berkesan.

“Sebelum ini saya dah cuba macam-macam konsep. Kali kelapan, saya fikir mungkin sudah masanya untuk buat sesuatu dengan lebih bijak dan sederhana.

“Kalau ada peluang kali kesembilan nanti, mungkin saya gabungkan kedua-duanya. Apa pun, saya cuma mahu setiap penyertaan ada kelainan. Menang itu rezeki, kalau tak menang pun saya teruskan sahaja,” katanya.

Berlayar Atas Kapal Dengan Black Hanifah

Dalam perkembangan lain, Hazama ditemui media pada majlis pengenalan Suka Showcase @ Sea anjuran Suka Travel yang bakal berlangsung di atas kapal Star Voyager pada Disember ini.

Hazama akan bergandingan dengan Black Hanifah untuk persembahan eksklusif menerusi pelayaran tiga hari dua malam ke Phuket dari 20 hingga 22 Disember 2026, manakala Shila Amzah pula dijadualkan membuat persembahan bagi pelayaran seterusnya dari 22 hingga 25 Disember.

Program itu diperkenalkan susulan sambutan terhadap KRU Showcase pada Januari lalu, dengan konsep menggabungkan percutian pelayaran bersama persembahan eksklusif artis tempatan.