Sejak kebelakangan ini, nama pelakon dan pengacara terkenal Indonesia iaitu Laudya Cynthia Bella menjadi bualan hangat netizen apabila dia didakwa sedang hangat bercinta dengan seorang kerabat raja Dubai.
Rakan baik Bella beri respon
Khabar angin tersebut semakin menjadi-jadi selepas pelakon berusia 32 tahun ini dikatakan telah pergi ke Dubai. Para peminat mula membuat andaian bahawa Laudya Cynthia Bella ke negara tersebut kerana ‘teman lelakinya’ berada di sana. Bukan itu sahaja, mereka mendakwa pelakon cantik jelita ini akan mengakhiri zaman ‘jandanya’ tidak lama lagi dengan jejaka pilihan yang dikatakan merupakan kerabat raja Dubai.
Susulan daripada khabar angin itu, rakan baik Laudya Cynthia Bella iaitu Zaskia Sungkar tampil memberitahu bahawa tujuan Bella ke negara berkenaan hanyalah untuk membeli pakaian dan jubah. Tambah Zaskia lagi, kerabat raja Dubai yang didakwa merupakan ‘teman lelaki’ Bella sebenarnya langsung tidak wujud malah mereka sendiri tidak tahu siapa gerangan yang dimaksudkan oleh para peminat.
Tak fikir nak kahwin buat masa sekarang
Difahamkan, selepas berpisah dengan bekas suaminya, Engku Emran, Bella langsung tidak mempunyai teman lelaki malah dia juga tidak mempunyai perancangan untuk kembali mendirikan rumah tangga meskipun sering dijodohkan dengan beberapa lelaki. Hal ini kerana, Bella sedang memberi fokus untuk belajar mengaji dan berhijrah.
Untuk rekod, Laudya sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli usahawan Malaysia iaitu Engku Emran pada September 2017 di Kuala Lumpur. Hubungan mereka bagaimanapun tidak bertahan lama dan bercerai pada Julai 2020.
Sumber: Kapanlagi, Celebrity Okezone