berita

Lawatan Hishammudin Menyaksikan 4 Buah Aset TLDM Serta Agenda Keselamatan & Pertahanan Sabah

January 17th, 2022 | by Azyan
Kini Trending

Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein ke Sabah selama 2 hari pada 13 dan 14 Januari lalu.

Bukan hanya sekadar meninjau, lawatan ini merangkumi 3 objektif utama iaitu Penerimaan Kapal Littoral Mission Ship (LMS), OPERASI MURNI (OPS MURNI) Sabah serta Agenda Keselamatan dan Pertahanan Sabah!

4 buah aset terbaru milik TLDM diterima

Lawatan tersebut termasuklah melawat LMS ke-4 bernama RENCONG, yang merupakan aset terbaharu milik TLDM Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

RENCONG baru tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 28 Disember 2021 selepas diserahkan secara fizikal di Qidong, China pada 18 Disember tahun lepas dan bakal melalui satu lagi detik bersejarah yang mana ia akan menerima pentauliah pada 28 Januari 2022!

Lepas menerima tauliah, RENCONG akan dikenali sebagai KD RENCONG dan seterusnya akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Beliau juga berkesempatan untuk melawat 3 buah LMS yang lain iaitu:

  • LMS yang pertama merupakan Kapal Diraja (KD) KERIS yang diterima secara fizikal pada 31 Disember 2019 and  menerima pentauliahan di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port pada 6 Januari 2020
  • LMS 2 atau KD SUNDANG pula diterima secara fizikal pada 14 September 2021 dan telah ditauliahkan pada 5 Mac 2021 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).
  • LMS 3 atau KD BADIK yang diterima secara fizikal pada 14 September 2021 turut menerima pentauliahan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 22 Oktober 2021.

Ketiga-tiga LMS tersebut telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Armada Timur untuk memperkasakan pengawasan maritim di Malaysia Timur.

Kapal-kapal ni juga akan ada misi utama!

Misi utama skuadron kapal ini adalah:

  1. Menangkis ancaman asimetri
  2. Pengawasan kawasan operasi
  3. Rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
  4. Tugas-tugas sokongan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW)
  5. Sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

Keupayaan LMS ni juga berdasarkan pendekatan Fit For Purpose, antaranya ialah:

  1. Direka khas untuk melaksanakan pelbagai tugas di kawasan pesisir pantai termasuklah aktiviti rondaan dan pemantauan.
  2. Mampu menjadi platform sokongan kepada Tim Quick Reaction Force (QRF) terutama di perairan Sabah Timur yang tidak dapat disokong oleh kapal-kapal TLDM kecil yang lain.
  3. Mampu melaksanakan operasi untuk tempoh 15 hari tanpa ulang bekal.
  4. Berkeupayaan untuk menampung beban sehingga 750 tan.
  5. Boleh memuatkan 7 pegawai dan 38 anak kapal dalam satu-satu masa.
  6. Mampu beroperasi pada jarak 2000 batu nautika dengan kelajuan maksimum 22 knot.

OPS Murni Sabah- Banjir hampir pulih sepenuhnya

Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein juga dimaklumkan oleh Ketua Menteri Sabah bahawa situasi banjir di negeri Sabah ketika ini hampir pulih sepenuhnya.

Beliau juga menyuarakan jaminan kepada Ketua Menteri Sabah atas kesiapsiagaan ATM untuk meneruskan kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah serta setiap agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni (OPS MURNI) Negeri Sabah akan terus berada pada tahap tertinggi.

Sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota Tentera Darat Malaysia telah diaturgerak bukan sahaja untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS.

Anggota ATM bersama aset telah bersedia

Malahan, pada masa yang sama, 385 anggota bersama 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga untuk diaturgerak pada bila-bila masa di negeri Sabah.

Keutamaan utama adalah untuk:

  • Membantu masyarakat Sabah yang terjejas banjir untuk melaksanakan kerja- kerja pembersihan pasca banjir terutama di kediaman dan infrastruktur awam.
  • Membantu agensi-agensi berkaitan di Sabah melakukan kerja-kerja baik pulih kemudahan termasuk jambatan sekiranya ada yang terjejas.
  • Bersedia sekiranya berlaku gelombang ketiga banjir di Sabah.

Pihak MINDEF dan ATM mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah

Keupayaan mengkoordinasi perancangan menghadapi musibah banjir dengan sebaik mungkin termasuklah melalui PKOB di peringkat daerah dan negeri oleh Kerajaan Negeri Sabah dipuji.

Penghargaan juga diberikan kepada semua agensi kerana berjuang bertungkus-lumus bersama ATM sejak hari pertama banjir melanda Sabah. Hasil kerjasama erat inilah, OPS MURNI ATM Negeri Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan tersusun.

Lawatan kemudian akan diteruskan ke Taklimat Keselamatan di Markas Angkatan Tentera Bersama (ATB 2) di Kem Kukusan Tawau.

SKIP THIS AD ×