berita

Lazada Malaysia Prihatin – Lancar Pakej Ransangan RM10 Juta Bantu PKS Tempatan

April 14th, 2020 | by Asyraf Khalib
Shout Out!

Lazada Malaysia telah melancarkan dana berjumlah RM10 juta untuk Pakej Kedai Pintar bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menjual produk mereka dalam talian bermula April hingga Jun 2020.

Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong kemampanan perniagaan, kestabilan sumber pendapatan pekerja dan secara langsung mengukuhkan ekonomi negara ketika berlakunya wabak COVID-19.

50,000 PKS tempatan terima manfaat

Kalau korang nak tahu, kira-kira 50,000 PKS tempatan terutamanya mereka yang berada dalam kategori makanan segar dan barangan runcit, penjual eDagang baharu dan sedia ada, serta kedai-kedai peruncit menerima manfaat daripada pakej ini.

Sebagai contoh, mereka yang merancang untuk membuka gerai untuk bazar Ramadan. PKS yang layak akan menikmati perkhidmatan penghantaran secara percuma dan menerima pembayaran mingguan secara tetap. Untung tau!

Lebih mengagumkan, satu pasukan yang berdedikasi juga telah ditubuhkan untuk mengawal selia, melatih dan mengembangkan kempen jualan untuk PKS mengikut kesesuaian melalui Universiti Lazada.

Layak mendapat komisen sifar

Bagi PKS daripada kategori makanan segar dan runcit, serta penjual Lazada baharu dan sedia ada, korang layak mendapat komisen sifar dan yuran penyenaraian sifar, dan juga akses kepada kemudahan pinjaman mikro.

Melalui inisiatif ini, peruncit PKS baharu, mahupun yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam eDagang, boleh menjangkakan 100% daripada kos berniaga dalam talian ditanggung sekaligus mampu mempelbagaikan sumber pendapatan.

Manfaatkan teknologi dalam perniagaan

Dalam usaha untuk memerangi COVID-19, Lazada Malaysia komited untuk membantu masyarakat tempatan memanfaatkan kelebihan teknologi dan logistiknya. Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow berkata PKS tempatan penting untuk pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan masyarakat. Dengan membantu PKS tempatan, mereka berharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia di tengah-tengah penularan COVID-19.

“Ini adalah tanggungjawab semua pengendali platform untuk menyokong para peniaga yang telah memberi kepercayaan kepada kami selama ini. Kami ingin membantu sesiapa sahaja yang mempunyai perniagaan. Tanpa apa-apa bayaran atau caj. Peniaga boleh terus menjalankan perniagaan dan mendapat faedah daripada kepakaran eDagang serta infrastruktur logistik Lazada yang bertaraf dunia,” katanya.

Daftar sekarang sebelum terlambat!

Jadi, apa tunggu lagi tu? Korang boleh mula mendaftar di www.lazada.com.my dan nikmati tanggungan 100% kos modal bermula April hingga Jun.

*Kos modal merujuk kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Lazada Malaysia, termasuk penghantaran bungkusan kepada pelanggan, perkhidmatan penciptaan kandungan, penyenaraian produk dan pengiklanan.