Di Gorontolo, Indonesia, seorang pengemis didakwa memiliki wang simpanan mencecah 490 juta rupiah (RM149,069).
13 tahun mengemis
Menerusi laporan Kompas TV, kisah mengenai pengemis tersebut menjadi viral di media sosial selepas dua foto buku simpanan bank miliknya tersebar. Pengemis yang dikenali sebagai Lutfi Haryono telah dipanggil oleh pihak polis bagi tujuan memberi keterangan. Difahamkan, Lutfi menyimpan wangnya di Bank Mandiri dan Bank Sulutgo selama menjadi pengemis. Menurut jurucakap polis, Bripka Romi, Lutfi mengaku wang simpanan dalam kedua-dua bank itu adalah miliknya.
Menurut Lutfi, dia suka memaksa penduduk untuk mendapatkan wang. Soal siasat dilakukan juga mendapati Lutfi sudah mengemis lebih 13 tahun iaitu selepas berpisah dengan isterinya. Lutfi menggunakan wang hasil mengemis untuk keperluan peribadi seperti membina rumah.
Tambah Bripka, Lutfi mengaku wang itu bukan sepenuhnya hasil mengemis kerana pernah bekerja di sebuah kedai makan. Mengulas lebih lanjut, Lutfi meluahkan hasrat untuk berhenti mengemis dan akan berniaga di warung semula. Dia turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Sumber: Kompas TV