berita

Lebih 8 Bulan Terpisah Dengan Keluarga Di Singapura, Lelaki Ditemui Mati Sendirian Dalam Rumah

November 19th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang warga emas disahkan meninggal dunia selepas jiran tetangga menemui mangsa tidak sedarkan diri di dalam tandas rumahnya yang terletak di Taman Pelangi, Johor Bahru. Mangsa dipercayai tinggal sendirian di rumah terbabit.

Pintu belakang rumah terbuka

Menurut laporan Utusan Malaysia, kejadian itu disedari oleh jirannya selepas melihat pintu belakang rumah mangsa yang dikenali dengan nama Er Chiang Seng berada dalam keadaan terbuka. Dia yang pelik dengan situasi itu dan bimbang sesuatu perkara buruk terjadi telah bertindak memasuki rumah tersebut.

Tetapi selepas melangkah masuk alangkah terkejutnya dia apabila melihat mangsa sudah terbaring di dalam tandas dengan keadaan tidak sedarkan diri. Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Nordatul Badrol Abd. Rahman berkata, jiran terbabit terus menghubungi pihak polis dan bomba untuk melaporkan tentang kejadian.

Lapan bulan tak jumpa keluarga

Pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian telah membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati mangsa sudah pun meninggal dunia. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, mangsa yang berumur 77 tahun tinggal sendirian di rumah dua tingkat itu memandangkan ahli keluarganya yang lain kini berada di Singapura. Lebih meruntun hati apabila mengetahui mangsa sudah lebih lapan bulan tidak bertemu dengan keluarganya di Singapura.

Sumber: Utusan Malaysia

SKIP THIS AD ×