Seorang lelaki yang berjubah dan berkopiah berjaya dicekup oleh penduduk Kampung Kubang Batang, Tumpat ketika sedang leka ‘mengail’ tabung masjid kampung berkenaan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pakai Spender Curi Tabung Masjid
Leka keluarkan duit dari tabung
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, ketika kejadian suspek difahamkan sedang bertungkus lumus memasukkan batang besi yang dipasang pelekat sebelum berjaya mengeluarkan beberapa not dari tabung tersebut.
Menurut ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut, Zulkifli Abdullah, suspek difahamkan tiba di perkarangan masjid sekitar jam 12 malam sebelum meletakkan kenderannya di bahagian belakang masjid.
Suspek kemudiannya didakwa mengopak pintu masjid yang berkunci sebelum mendekat tabung masjid yang terletak di ruangan solat muslimin.
Sebenarnya sudah banyak kali berlaku kecurian wang tabung pengurusan masjid ini dan setiap kali melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia dilakukan orang serta waktu yang sama.
Kejadian terakhir adalah minggu lalu jadi kami AJK masjid mengambil keputusan untuk membuat persediaan dengan menunggu di bilik yang menempatkan monitor CCTV.
Jangkaan kami tepat apabila melihat lelaki yang sama seperti beberapa kejadian sebelum ini dan kami biarkan dia ‘mengail’ dengan batang besi yang dipasang pelekat itu beberapa ketika sebelum menangkapnya.
Tambah Zulkifli lagi, berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dilakukan kerana suspek yang berusia 34 tahun itu cuba untuk melawan dan melarikan diri.
Namun, keadaan itu berjaya dikawal sebelum mereka menghubungi pihak polis berhubung kejadian. Difahamkan, suspek berjaya mencuri sejumlah wang sebanyak RM500 dari tabung berkenaan.
Dia juga memberitahu sudah banyak kali singgah di masjid ini pada waktu malam dan turut mengenali beberapa kariah lain sambil mendakwa hadir untuk solat tahajud.
Lelaki itu beralamat di Melor, Kota Bharu dan ketika pergelutan tengah malam tadi juga terdapat sejumlah wang tunai yang agak banyak bersamanya sambil mendakwa ia adalah wang perniagaannya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan bahawa pihak mereka menerima laporan berhubung kejadian tersebut kes kini akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK).
Sumber: Harian Metro