berita

Lelaki Dihukum Penjara 584 Tahun, 146 Kali Sebatan Akibat Salah Guna Dana Biasiswa

November 13th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Setiap pekerjaan yang telah diberikan kepada kita perlu digalas dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah. Seseorang itu tidak sepatutnya berniat mahupun cuba menyalahgunakan jawatan yang dipegang semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sehinga sanggup melanggar hukum.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang individu telah dijatuhi hukuman selepas melakukan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit di tempat kerjanya.

Melibatkan 146 kes pecah amanah

Berdasarkan laporan portal itu, tertuduh Mohd Hanafi Ismail dihukum penjara selama 584 tahun berserta 146 sebatan selepas dia mengaku bersalah terhadap 146 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh yang merupakan bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.

Dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh hukum untuk setiap pertuduhan dan kesemua hukuman itu berjalan serentak berserta satu sebatan bagi setiap 146 pertuduhan.

Masuk duit dalam akaun sendiri

Kesalahan itu dilakukan tertuduh secara berperingkat antara 23 Januari 2017 hingga 21 Disember tahun lalu yang membabitkan nilai sebanyak RM2.404 juta.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta ke atas peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri terbabit telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir menyalahgunakan harta dengan memasukkan peruntukan biasiswa pelajar ke dalam pelbagai akaun bank miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarga sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×