Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan polis selepas disyaki menetak isteri dan anak perempuannya menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di Permai Jaya, awal pagi Rabu.

Tetak isteri, anak

Foto: Redzuan Abdul Manap

Memetik laporan Free Malaysia Today, insiden itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, suspek yang berjaya ditahan itu akan direman di Mahkamah Sibu pada Khamis bagi membantu siasatan. 

Difahamkan, pihak polis masih mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah

Terdahulu, polis menerima laporan kecemasan sekitar jam 7 pagi berhubung kejadian pergaduhan melibatkan kecederaan serius dua beranak.

Panggilan diterima melalui talian MERS 999 daripada salah seorang mangsa yang memaklumkan bahawa dia dan ibunya telah ditetak menggunakan parang oleh ayahnya sendiri.

Akibat serangan itu, isteri suspek kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, manakala anak perempuannya yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala namun dilaporkan stabil.

Sumber: Free Malaysia Today