Foto: Sinar Harian
Perjalanan seorang lelaki berusia 50 tahun ke tempat kerja bertukar tragedi apabila mangsa disahkan meninggal dunia akibat dipanah petir di tepi jalan Kampung Seri Cheeding dekat Sungai Jarom, kelmarin.
Maut dipanah petir
Foto: Berita Harian
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, insiden tersebut berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Bandar Mahkota Banting iaitu kira-kira 16 kilometer dari lokasi kejadian.
Kira-kira jam 6.20 petang, ketika melalui jalan dari Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding, mangsa dipercayai terkena panahan petir lalu terjatuh dari motosikal. Mangsa terjatuh sejauh 50 meter ke hadapan dari tempat kejadian dan tidak sedarkan diri.
Orang awam yang melalui kawasan tersebut bertindak membantu mengangkat mangsa dan menghubungi MERS 999. Namun, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian leher kanan serta lebam di bahagian perut dan paha disahkan meninggal dunia.
Terdapat juga luka di dagu dan lutut mangsa akibat jatuh dari motosikal. Tiada unsur-unsur jenayah pada fizikal badan mangsa dan lokasi kejadian.
Pemeriksaan di lokasi turut mendapati terdapat dua lubang atas jalan kesan panahan petir. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Berita Harian