Seorang lelaki berusia 46 tahun dilaporkan maut selepas diserang seekor babi hutan dalam satu kejadian di Kampung Paya Ara, Pantai Remis malam semalam.
Maut diserang babi hutan
Sekadar gambar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali dengan nama Syaiful Anuar Abdul Wahab dikatakan dalam perjalanan ke kebunnya sebelum diserang babi hutan terbabit. Manakala, dua lelaki yang masing-masing berusia sekitar 49 dan 60 tahun mengalami kecederaan ringan ketika cuba menyelamatkan mangsa dalam serangan tersebut.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya bersama-sama anggota polis dan pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian. Haiwan liar terbabit bagaimanapun berjaya ditembak mati oleh anggota polis dengan bantuan pencahayaan daripada pasukan bomba.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala dua yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan bagi rawatan susulan.
Sumber: Harian Metro