Foto: Tribunnews
Malang tidak berbau! Itulah peribahasa paling sesuai menggambarkan detik cemas yang dilalui seorang lelaki yang memiliki berat 275 kilogram ini selepas tali lif yang dinaikinya putus dalam satu kejadian di Jawa Timur, Indonesia.
Lelaki berat 275kg patah tulang betis
Foto: Tribunnews
Memetik laporan Tribunnews, mangsa yang dikenali dengan nama Dwi Ariesta Wardhana berusia 38 tahun mengalami patah tulang betis selepas lif barang yang dinaikinya terjatuh dari tingkat dua dengan ketinggian sekitar tiga meter pada 7 Mei lalu. Menurut sumber, saat mangsa menekan butang turun, tali lif di bangunan rumahnya itu tiba-tiba terputus dan mengakibatkan mangsa terjatuh sehingga tulang kedua-dua betisnya patah.
Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa. Sementara itu, ketua pasukan bomba Kota Malang berkata, misi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira tiga jam. Mangsa kemudian segera dikejarkan ke hospital dan menurut sumber, seramai 12 orang anggota bomba termasuk ahli keluarga cuba mengangkat mangsa. Tambahnya lagi, tali webbing berserta papan tripleks setebal 18 milimeter serta kain terpal terpaksa digunakan pasukan penyelamat untuk mengangkat mangsa.
Setibanya di hospital, pasukan perubatan menyediakan dua buah katil untuk meletakkan mangsa bagi rawatan selanjutnya. Menurut sumber, ahli keluarganya yang lain turut memiliki berat badan dalam lingkungan 130kg ke atas. Kesemua mereka dikatakan kerap menggunakan lif tersebut untuk turun dari tingkat dua ke tingkat bawah rumah mereka.
Sumber: Tribunnews