Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tampil memberi penjelasan terhadap kisah seorang lelaki OKU tanpa sebelah kaki yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Rupanya penerima bantuan MAIPk

Menerusi kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh memaklumkan bahawa individu tersebut iaitu Jefree Regan, 49, merupakan antara asnaf yang sedang menerima bantuan kewangan bulanan secara tetap daripada MAIPk sejak tahun 2016.

Jefree Regan salah seorang dari 13,000 snaf yang menerima bantuan tetap dari MAIPk. Selain turut dibantu dengan bantuan kecemasan segera setiap kali beliau hadir ke pejabat hampir setiap minggu.

Beliau juga termasuk penerima sumbangan tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2025 yang lalu.

Kisah sebenar di sebalik kehidupan beliau tidak wajar kami dedahkan bagi menjaga maruah dan amanah harta zakat antara muzakki (pembayar zakat) dan asnaf (penerima zakat).

Dalam pada itu, MAIPk mengucapkan penghargaan kepada individu dan orang awam yang sentiasa cakna terhadap golongan asnaf di Perak.

MAIPk sentiasa menekankan prinsip keadilan dalam pengagihan zakat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan golongan asnaf dan OKU terus terbela.

MAIPk juga menyarankan agar masyarakat mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga nama baik semua pihak.

Sebelum ini, kisah hidup Jefree tular di aplikasi TikTok hingga menarik perhatian warganet serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sumber: Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)