Gara-gara tidak dapat mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM, lelaki tempatan ini bertindak diluar kawalan. Suspek berusia 41 tahun itu mengamuk dan bertindak agresif mengejar seorang anggota polis dalam cubaan menikam dengan sebilah pisau lipat yang dibawanya.
Bertindak menikam polis
Menurut laporan Metro, suspek lelaki itu mengamuk dipercayai kerana tidak boleh mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM di Bukit Tinggi, Klang. Insiden kira-kira 12.30 tengah hari itu dilaporkan suspek mengamuk di mesin ATM di salah sebuah bank sambil memarahi pihak bank.
Marah sambil memegang pisau
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli melaporkan suspek kembali semula ke bank berkenaan kira-kira 2 petang dan kelihatan suspek berada di hadapan bank mengamuk sambil memegang sebilah pisau.
Pengawal keselamatan bank memaklumkan suspek akan kembali ke bank pada jam 2 petang dan jika tidak boleh mengeluarkan wang, suspek akan mengamuk.
Polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) datang semula ke bank berkenaan pada jam 2 petang dan dapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah serta memegang pisau.
Empat das tembakan
Bagaimanapun, pihak polis telah cuba menenangkan lelaki berkenaan sebelum dia bertindak agresif mengejar seorang anggota polis dan cuba menikam.
Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan empat das tembakan dan dua das mengenai bahagian perut suspek. Suspek dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan.
Pihak polis merampas pisau lipat berukuran tujuh inci dan satu paket dipercayai dadah di dalam beg sandang milik suspek. Tambah laporan polis lagi, suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah.
Sumber: Metro