berita

Lelaki Tikam Bekas Tunang Sampai Mati Dalam Pusat Beli-Belah

May 30th, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Harian Metro

Gara-gara tidak puas hati ikatan pertunangan diputuskan, seorang lelaki tergamak menikam bekas tunangnya sehingga mati dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, kelmarin.

Maut ditikam bekas tunang

Foto: Free Malaysia Today

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris, kejadian ngeri itu berlaku dua hari selepas mangsa, 21, memutuskan hubungan dengan suspek, 33, atas alasan peribadi.

Malah, suspek dikatakan sering mengganggu mangsa dengan mencarinya di tempat kerja selain mendesak hubungan disambung semula.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pembantu kedai aiskrim sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang dikenalinya selama setahun.

Suspek dikatakan memujuk mangsa, namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu, menyebabkan suspek mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah.

Anggota keselamatan yang terdengar jeritan minta tolong mangsa bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya di sana, mereka mendapati mangsa sudah terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan. Manakala suspek berdiri di sebelah mangsa sambil memegang sesuatu serta berlumuran darah.

Suspek yang merupakan warga tempatan kemudian ditahan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×