Sebelum ini, dilaporkan seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai dikelar anak sulungnya di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka, semalam.
Menurut laporan, lelaki berkenaan yang merupakan seorang penganggur mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar suara halus memberitahu mangsa telah menyembah berhala.
2 tikaman di leher
Memetik laporan Kosmo!, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, meninggal dunia di lokasi dengan dua kesan tikaman di leher.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.05 petang dan sepasukan pegawai dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik menjumpai mayat seorang warga emas dengan kesan tikaman di bahagian kiri serta kanan leher dipercayai dilakukan oleh ahli keluarganya sendiri.
Kita berjaya menangkap suspek yang berada di lokasi dan hasil soal siasat dia mengaku telah menikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.
Katanya sebelum kejadian dia terdengar bisikan halus memberitahu warga emas itu menyembah berhala.
Tambah Zainol, suspek dan mangsa tinggal bersama dengan seorang lagi anak perempuannya berusia 30-an. Mangsa diserang ketika baru sahaja selesai mandi.
Selepas ditikam, difahamkan mangsa masih bernyawa dan suspek telah menyerahkan pisau itu kepadanya, namun wanita itu mencampakkannya ke luar tingkap bilik.
Kita telah menjumpai senjata tersebut yang sepanjang 26 sentimeter.
Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan sejarah rawatan psikiatri di Hospital Melaka.
Sumber: Kosmo!