berita

Lengendaris Rock Indonesia Thomas Arya Bakal Hangatkan Lagi Konsert Millenia Live In Kuala Lumpur

October 18th, 2023 | by Hazirah
Kini Trending

Berita baik buat para peminat genre dangdut, penganjur Konsert Millenia Live In Kuala Lumpur bakal menampilkan Lagendaris Rock Indonesia Thomas Arya, untuk menggamatkan lagi acara yang bakal berlangsung pada 25 November 2023, itu.

Artikel Berkaitan: Fourtwnty Adakan Konsert Jelajah Ke Empat Negeri Sempena Album ‘Nalar’

Artikel Berkaitan: Andra & The Backbone Bakal ‘Sempurna’ Di Kuala Lumpur

Hangatkan lagi persembahan

Seperti yang dijanjikan, konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam itu akan memberikan kelainan dan yang pastinya memberi kepuasan maksimum kepada para penonton.

Penganjur, Mission Sight Sdn Bhd berkata, penampilan Thomas Arya bakal mengimbangi Konsert Millenia yang dibarisi ratu-ratu dangdut dari Malaysia dan Indonesia.

Thomas Arya sangat dikenali dengan genre slow rock tetapi dia diterbangkan khas untuk konsert dangdut. Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya kaitan slow rock dengan irama dangdut.

Di situlah kelainan yang kami mahu tampilkan. Thomas Arya ‘King Of Slow Rock’,  walaupun fortenya adalah muzik rock, namun keistimewaan beliau adalah cara nyanyian yang mempunyai cengkok dangdut. Beliau memiliki gaya berbeza, lain daripada yang lain,” kata Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob.

Menurut Jeffri lagi, kehadiran Thomas Arya pastinya akan menghangatkan lagi persembahan Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-klepek dan Rheyna Morena. 

Tambah Jeffri, pada malam tersebut nanti Thomas Arya dijangka mendendangkan empat lagu hits yang mempunyai ramai peminat di Malaysia iaitu Bunga, Berbeza Kasta, Syahara dan Satu Hati Sampai Mati atau Orang ketiga. 

Selain itu, kelainan lain yang bakal ditampilkan menerusi konsert ini nanti ialah, kehadiran dua DJ Dugem iaitu DJ ACE JB Style dan DJ Bob Arjuna dari Singapura turut diundang.

Mereka akan memainkan lagu-lagu irama dangdut dugem seperti yang menjadi kegilaan peminat muda di sosial media.

Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50.

SKIP THIS AD ×