Kejadian pukau sering terjadi walaupun kita sekarang berada dalam arus permodenan. Kebanyakan daripada mereka yang menggunakan ilmu hitam ini bertujuan untuk kepentingan diri sendiri samata-mata untuk mengaut keuntungan.
Terbaru, seorang pengguna Facebook, Enson Teh ada menceritakan kisah sahabat perempuannya yang didakwa hampir dipukau oleh seorang lelaki tua ketika sedang menaiki LRT di Putra Height.
Dia berpaling dan tunjuk tangannya
Melalui perkongsian itu, Enson memberitahu bahawa kejadian dikatakan berlaku pada pukul 3 petang semasa rakannya itu bersendirian sedang menunggu LRT menuju ke Stesen Sentul Timur.
Mangsa kemudian ditegur oleh seorang lelaki berusia yang tidak dikenalinya bertanyakan lokasi menuju ke Sentul Prima.
Perbualan mereka kemudian terhenti di situ sahaja sehinggalah lelaki itu tiba-tiba berpaling sambil menunjukkan tangannya.
Dia tanya tangan dia kotor ke tak, waktu itu saya tidak dengar sangat kemudian dia tanya sekali lagi.
Kepala pening dan susah bernafas
Kemudian menurut wanita itu, selepas dia melihat tangan dan memandang mata lelaki tersebut, kepalanya tiba-tiba berasa pening dan menyebabkan dia sukar untuk bernafas.
Ketika itu saya seperti bingung, pening dan mujur saya sedar awal yang lelaki itu cuba untuk pukau saya, cepat-cepat alihkan pandangan ke tempat lain.
Mujur ketika itu kereta api sampai dan saya terus naik, uncle itu juga mengekori dari belakang, duduk dengan saya.
Menyedari keadaan itu, dia segera beredar dan berjalan ke arah tempat duduk dua lelaki Melayu untuk meminta pertolongan. Dia menceritakan tentang kejadian itu kepada mereka. Salah seorang daripada mereka cuba menghalang pandangan lelaki itu sambil memantau pergerakannya.
Berjaya melarikan diri dari uncle
Tambah wanita ini lagi, dia bernasib baik kerana lelaki tersebut tidak mengekorinya lagi.
Bimbang kejadian yang sama akan berlaku lagi, Enson turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya apabila berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali.
Jika anda berdepan situasi seperti ini, perlu tenang dan minta bantuan dari orang lain. Sebaiknya jauhkan dengan individu itu elak perkara buruk berlaku.
Sumber: Enson Teh, Sinar Harian