berita

LIMA ’23 Kembali Tahun Ini Dengan Penyertaan 59 Buah Negara & Banjiran Pelawat Segenap Pelusuk Dunia

March 16th, 2023 | by Nurul
Kini Trending

Sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, pelbagai aktiviti dan program terpaksa ditangguhkan, ini termasuklah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) yang selalu ditunggu-tunggu kedatangannya. Berita baik untuk semua, tahun ini LIMA ‘23 dijadualkan kembali semula menemui peminat pada 23 hingga 27 Mei 2023 bagi edisi penganjuran ke-16.

Membawakan tema Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia, LIMA ‘23 adalah bertepatan dengan kepentingan peranan keseluruhan pameran ini dalam menjadi hab penghubung dan titik persefahaman bagi perkongsian kemajuan teknologi dari serata dunia dalam memperkasa hala tuju pertahanan maritim dan aeroangkasa antarabangsa.

Untuk pengetahuan semua, LIMA ‘23 telah pun dilancarkan pada 16 Januari 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan bersama Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook dengan disaksikan oleh penganjur bersama diwakili Pengerusi Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khairul Adib.

Seperti yang kita semua tahu, LIMA sememangnya acara yang mempunyai daya tarikan tersendiri dengan pameran pertunjukan udara yang pastinya dinantikan para pengunjung LIMA ‘23.

Menariknya tahun ini, LIMA ‘23 akan membawa pembaharuan menarik dengan membuka ruang baharu yang akan mengetengahkan pemain industri dalam kluster teknologi angkasa lepas (space technology) yang meliputi pameran teknologi dan inovasi terkini bagi penerokaan dan pengkomersialan angkasa lepas.

Para pengunjung juga akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik melalui pameran yang bertemakan angkasa lepas dengan menggabungkan pameran interaktif, pembentangan dan juga peluang networking.   

Selain itu, kluster teknologi angkasa lepas turut akan menyediakan beberapa aktiviti sampingan seperti persidangan, pertandingan dan bengkel yang berteraskan angkasa lepas. Kluster ini dijangkakan akan menjadi hab bagi perkongsian ilmu, mencari rakan kolaborasi strategik dan pemangkin untuk pemain industri terus meneroka potensi industri angkasa lepas tanpa batasan.

Acara bertaraf dunia ini juga dijangka bakal menerima penyertaan lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pelawat dari 59 buah negara dan wilayah serta lebih 410 delegasi VVIP asing dari 59 buah negara meliputi Menteri, Pemerintah Tertinggi Kerajaan, Delegasi Pertahanan meliputi Pemerintah Tertinggi Kerajaan, Tentera Laut, Tentera Udara dan Penguasa Polis serta Penguatkuasa Maritim tempatan dan antarabangsa.

Pameran ini juga akan memperlihatkan kehadiran pemain ternama bagi industri pertahanan dan komersial dari segenap pelusuk dunia.

LIMA ‘23 juga diramal akan menjadi edisi penganjuran terbesar dengan penyertaan sebanyak 600 pempamer meliputi 60% atau kira-kira 360 syarikat bagi industri pertahanan dan 40% atau 240 syarikat bagi sektor komersial. 

Sebanyak 20 pavilion antarabangsa meliputi negara China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Belanda, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

Secara keseluruhan, diunjurkan sebanyak RM 8 bilion anggaran pemeteraian perjanjian kerjasama akan disaksikan sepanjang tempoh 5 hari kelangsungan pameran yang mana adalah dua kali ganda berbanding nilai yang telah dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM 4 bilion.

Berikut merupakan info tentang LIMA `23 di MIEC:

  • 23 hingga 25 Mei 2023 (Selasa – Khamis) 

Pameran dibuka kepada Tetamu Negara dan delegasi, pelawat perdagangan, pasukan pertahanan dan keselamatan serta media.

  • 26 hingga 27 Mac 2013 (Jumaat – Sabtu) 

Pameran dibuka kepada pelawat awam 

Bayaran Masuk 

  • RM 350.00 – online pre order atau RM 400.00 – walk in untuk pakej 3 hari bagi pelawat perdagangan
  • RM 30.00 – online pre order atau RM 35.00 – walk in untuk 1 hari lawatan awam dan percuma untuk pelawat OKU dan pelawat berumur di bawah 16 tahun

Komponen Pameran

Pameran kali ini terbahagi kepada dua komponen iaitu sektor aeroangkasa dan sektor maritim. Tapak pameran utama dan bagi komponen aeroangkasa adalah di Dewan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) manakala komponen maritim adalah di Resorts World Langkawi. 

Persidangan Utama

  • 23 Mei 2023 – Chief of Navies Roundtable Talk di MIEC
  • 24 Mei 2023 – Air Chief Conference di MIEC
  • 24 Mei 2023 – Langkawi Maritime Conference di Hotel Park Royal, Langkawi
  • 24 Mei 2023 – Langkawi Aviation Summit di MIEC
  • 25 dan 26 Mei 2023 – ASEAN NextSpace Industry Forum di MIEC.

Waktu Pameran 

Waktu lawatan ke dewan pameran statik bagi segmen aeroangkasa di MIEC dan segmen maritim di Resorts World adalah dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang mulai 23 hingga 27 Mei 2023. Bagaimanapun, MIEC hanya dibuka kepada pelawat awam pada 26 dan 27 Mei 2023

Waktu Pertunjukan Udara & Demonstrasi Maritim 

Dua sesi pertunjukan pada hari pelawat awam: 

  • Demo Maritim : 10.00 pagi – 12.00 tengahari & 3.00 petang – 5.00 petang
  • Aerobatik   : 10.00 pagi – 12.00 tengahari & 2.30 petang – 4.30 petang

Tiket Masuk 

Tiket masuk boleh dibeli di setiap pintu masuk pameran MIEC dan Resorts World Langkawi

Pembelian awal boleh dibuat secara atas talian di www.limamalaysia.com 

SKIP THIS AD ×