
Sebuah hantaran di platform Threads mengundang perhatian ramai apabila seorang wanita berkongsi dugaan berat yang menimpa rumah tangganya selepas suaminya didakwa terlanjur dengan pembantu rumah mereka.
Artikel Berkaitan: Shima Anuar Bidas Fitnah Netizen Tuduh Kerah Pembantu Rumah – ‘Saya Bayar Gaji Bukan Kerja Percuma’
Suami bermaksiat dengan maid
Menurut wanita itu, pembantu rumah berusia 22 tahun berkenaan mengaku bahawa suaminya melakukan perkara tidak senonoh terhadapnya sebanyak enam kali iaitu lima kali ‘maksiat ringan’ dan sekali berzina.
Pembantu rumah itu mendakwa dirinya dipaksa dan pendedahan tersebut membuatkan si isteri terduduk pilu memikirkan pengkhianatan yang berlaku dalam rumah kelaminnya sendiri.
Wanita itu mengakui hatinya benar-benar luluh kerana suaminya selama ini dianggap lelaki penyayang, bertanggungjawab dan sentiasa memenuhi keperluan keluarga.
Mereka sudah 15 tahun bersama sejak zaman kolej, sembilan tahun berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata.
Wanita itu menceritakan, suaminya menyesali perbuatan tersebut dan menjelaskan bahawa perkara itu berlaku kerana dirinya kerap menolak ajakan untuk bersama akibat masalah hormon.
Pembantu rumah berkenaan telah dihantar pulang ke Indonesia, namun kesannya masih menghantui keluarga itu.
Wanita tersebut mengakui emosinya tidak stabil dan menangis hampir sepanjang masa, sehingga memberi kesan kepada anak-anak.
Suaminya pula dikatakan tidak putus memujuk dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah sejak kejadian itu terbongkar. Berat badannya juga turun mendadak kerana tekanan emosi dan rasa bersalah.
Dalam perkongsian sama, wanita itu turut mendedahkan beberapa perilaku mencurigakan pembantu rumahnya termasuk suka bersiap berlebihan serta didakwa sering cuba bergurau secara fizikal dengan suaminya.
Semakan CCTV menguatkan lagi rasa tidak sedap hati yang selama ini disangka sekadar permainan perasaan.
Wanita itu juga mengakui buntu untuk membuat keputusan sama ada memberi peluang kedua kepada suami yang kini benar-benar menunjukkan penyesalan atau memilih jalan perpisahan demi ketenangan diri.
Perkongsian itu pantas mengundang reaksi netizen yang memberikan kata-kata semangat serta menasihatkannya untuk menjaga kesihatan mental, memikirkan masa depan anak-anak dan membuat keputusan yang tepat.
Sumber: Threads