Buat kali ketiga, Axiata Arena menjadi saksi kehebatan maestro terkenal, Datuk Dr. M. Nasir yang mengadakan ‘Konsert Cipta 3’ pada Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan: Konsert M N45IR Cipta 2 Dibanjiri 8,000 Penonton, ‘Dihujani’ 10,000 Keping ‘Duit Raya’ Dalam Stadium

Artikel Berkaitan: Merinding! Konsert Gendang Pati Sifu M. Nasir Buat Penonton Bagai ‘Dirasuk’ Roh Nusantara

‘Steady’ nyanyi 31 lagu

Pada malam yang bertemakan ‘Malam Ini Gua Rock’, M. Nasir mendendangkan 31 buah lagu rock yang dihasilkan buat beberapa kumpulan terkenal termasuklah Search, Wings dan Kembara.

Membuka tirai dengan medley tiga buah lagu iaitu ‘Isi Atau Kulit’, ‘Musnah’ dan ‘Jerangkung Dalam Almari’, sebelum diteruskan lagi dengan lagu ‘Pembakar Perasaan’ dan ‘Opera Hidup’.

Pemilik nama Mohamad Nasir Bin Mohamed itu kemudiannya terus menghiburkan ribuan penonton dengan 25 buah lagi lagu sebelum menutup tirai dengan lagu ‘Pawana’ yang diolah semula dalam genre koplo.

Meskipun sudah masuk edisi yang ketiga, penganjur konsert yang juga pengasas Icon Entertainment iaitu Iman Tang, memberi bayangan bahawa akan ada konsert susulan membabitkan penyanyi yang digelar Sifu itu tahun depan.

Ketika kami merancang konsert CIPTA 1 dan 2, CIPTA 3 memang sudah ada dalam perbincangan. Bermaksud kami mempunyai perancangan awal sebelum tercetusnya idea untuk menganjurkan konsert pada malam ini (Sabtu).

Insya-Allah, jika ada rezeki dan konsep yang sesuai, akan ada (konsert susulan). Perancangan saya, konsert bersempena ulang tahun ke-50 pembabitan beliau dalam bidang seni akan jadi yang terakhir dan paling besar.

Penonton bertuah menang Harley Davidson

Pada malam yang berlangsung gilang-gemilang itu, penonton bukan sahaja dapat berhibur dengan persembahan hebat daripada M. Nasir malah berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal jenis Harley Davidson tajaan Etiqa.

Dan seperti yang dijanjikan, seorang penonton bertuah dikenali sebagai Mirza Haikal berjaya membawa pulang motosikal berkuasa tinggi bernilai RM114,000.

Haikal menjadi pemenang bertuah selepas nombor tempat duduknya terpilih sewaktu sesi cabutan bertuah yang diadakan di tengah pentas.

Selain motor, Haikal turut membawa pulang sebuah topi keledar beserta jaket.