berita

‘Maaf, Saya Kurang Arif Dulu’ – Individu Tinggal Nota, Pulangkan Semula Selimut Milik Pesawat Selepas 9 Tahun

January 19th, 2020 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Mungkin ada dalam kalangan kita yang secara tidak sengaja mahupun sengaja pernah mengambil sesuatu barang ketika di dalam hotel, kapal terbang dan lain-lain. Perbuatan ini mungkin dipandang remeh oleh segelintir daripada kita kerana menganggap barang yang diambil itu tidaklah begitu bermakna dan besar nilainya.

Bagaimanapun baru-baru ini viral, di media sosial kisah di mana seorang individu bertindak memulangkan selimut yang pernah diambilnya ketika menaiki pesawat itu suatu ketika dahulu sehingga mendapat perhatian netizen.

Selepas 9 tahun

Menerusi perkongsian yang dibuat oleh pengguna Twitter ini, dia memaklumkan bahawa teman sekolahnya yang juga merupakan seorang pramugara telah menemui satu nota berisi selimut di mana ia dipulangkan oleh seorang individu tak dikenali ketika dalam pesawat dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah.

Apa yang menariknya, individu itu telah memulangkan selimut tersebut selepas 9 tahun mengambilnya malah sempat meminta maaf melalui surat itu kepada syarikat kapal terbang terbabit.

Menceritakan lebih lanjut tentang kisah itu, Ketua Pramugara pesawat tersebut iaitu Kay menerusi laporan Harian Metro berkata, seorang kru pesawat telah menjumpai barang berkenaan ketika melakukan pemeriksaan di dalam kabin selepas kesemua penumpang keluar.

Seperti biasa, kami akan melakukan pemeriksaan di dalam kabin selepas penumpang keluar bagi memastikan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tertinggal barangan peribadi.

Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang kru menemui bungkusan barangan bersama sekeping nota di dalamnya di atas kerusi dan dia (kru) menyerahkannya kepada saya.

Terharu

Kay berkata, penumpang tersebut bagaimanapun tidak menyatakan sebarang nama dan nombor telefon untuk dihubungi di dalam nota yang ditinggalkan itu.

Namun katanya, dia tetap terharu dengan tindakan serta kejujuran individu terbabit yang berani memulangkannya semula meskipun sudah sekian lama mengambil selimut itu.

Selimut berkenaan memang disediakan untuk kegunaan penumpang di dalam kabin saja dan akan dicuci untuk digunakan semula dalam penerbangan lain.

Namun, segelintir penumpang mengambilnya mungkin kerana merasakan ia adalah cenderahati dan saya rasa ia berlaku di pesawat lain juga. Cuma, tak sangka penumpang berkenaan memulangkannya semula dan tindakannya membuatkan saya terharu.

Menerusi nota tersebut, dapat dibaca bahawa individu itu mengakui dirinya telah mengambil selimut tersebut pada 9 tahun lalu kerana kurang arif pada ketika itu.

Kay dalam pada itu turut mendoakan agar urusan individu berkenaan di Tanah Suci dipermudahkan dan mendapat umrah yang mabrur.

Sumber: Twitter Hazrey, Harian Metro

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×