Acara berprestij yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2026) kembali lagi dengan pelbagai tarikan, inovasi dan pengalaman baharu untuk diterokai.
Bakal berlangsung selama 10 hari, bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, MAHA 2026 membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Dengan lebih 2,000 pempamer dan jangkaan kehadiran lebih 4 juta pengunjung, MAHA bukan sekadar pameran untuk melihat hasil pertanian. Ia menjadi platform yang menghimpunkan petani, penternak, nelayan, usahawan agro, pemain industri makanan serta orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat perkembangan sektor agromakanan Malaysia.
Bukan sekadar pameran pertanian, ini 4 fokus utama MAHA 2026
Dengan skala sebesar ini, MAHA 2026 turut membawa misi yang lebih besar dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negara.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah:
- Inovasi & penggunaan teknologi – Daripada pertanian pintar, teknologi dron dan IoT hinggalah pertanian menegak serta platform pasaran agro-digital, teknologi menjadi antara pemacu utama transformasi sektor pertanian.
- Peluang perniagaan & pelaburan – MAHA menyediakan ruang untuk sesi pemadanan perniagaan, kerjasama industri, majlis menandatangani MoU serta membuka peluang kepada usahawan tempatan meneroka pasaran eksport.
- Kesedaran keterjaminan makanan – Pengunjung juga boleh memahami dengan lebih dekat kepentingan pengeluaran makanan tempatan dan bagaimana sektor agromakanan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
- Penyertaan belia – Generasi muda turut diberi perhatian menerusi program keusahawanan, pertandingan, pendedahan kerjaya serta bimbingan daripada pemain industri.
Jadi, kalau korang ingat pertanian hanya berkait dengan sawah, kebun atau ternakan, MAHA 2026 mungkin akan mengubah perspektif tersebut.
Dari Agri-Tech hingga Agropelancongan, 4 bidang ini jadi tumpuan
Menariknya, transformasi sektor pertanian yang diketengahkan di MAHA merangkumi pelbagai bidang yang mungkin lebih dekat dengan kehidupan seharian korang.
- Agri-Tech yang mengetengahkan penggunaan dron, IoT, AI, pertanian ketepatan dan sistem pengairan pintar.
- Agromakanan yang merangkumi pemprosesan, pembungkusan, pembuatan makanan, pensijilan halal serta pelbagai produk agro-makanan tempatan.
- Agropelancongan yang menggabungkan aktiviti pertanian dengan pengalaman pelancongan seperti lawatan ladang, agro-safari dan pasar terapung.
- Kelestarian yang memberi perhatian kepada pertanian organik, pengurangan sisa, tanaman tahan iklim serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor pertanian.
Kesemua bidang ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk pameran dan pengalaman yang lebih mudah diterokai menerusi lima zon utama MAHA 2026.
5 Zon MAHA 2026 untuk korang terokai bersama keluarga
Bagi memudahkan pengunjung memahami kepelbagaian sektor agromakanan, MAHA 2026 dibahagikan kepada lima zon utama.
- Zon A – Pertanian & Tanaman: Menampilkan teknologi serta inovasi pertanian pintar yang menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan.
- Zon B – Hortikultur & Florikultur: Sesuai untuk korang yang nak melihat kepelbagaian bunga, orkid, buah-buahan dan sayuran segar.
- Zon C – Perikanan & Akuakultur: Menampilkan pameran akuakultur, pembiakan benih ikan serta inovasi hasil laut secara lestari.
- Zon D – Ternakan & Haiwan Kesayangan: Ada pameran pelbagai baka ternakan, teknologi smart farming, VR Lab, Petting Zoo dan produk berasaskan ternakan.
- Zon E – Agropelancongan: Menawarkan pengalaman yang menggabungkan pertanian, penternakan dan perikanan dengan aktiviti pelancongan.
Dengan banyaknya zon untuk diterokai, pengalaman di MAHA 2026 pastinya bukan sekadar berjalan dari satu zon i ke zon yang lain. Malah, banyak aktiviti interaktif menanti pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran.
Lawat kebun sayur, belai haiwan & ambil gambar cun di MAHA 2026!
Di MAHA 2026, korang boleh jadikan kunjungan sebagai aktiviti keluarga sambil mengenali dunia pertanian dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan.
Antara pengalaman yang boleh dinantikan termasuk:
- Beli barangan lokal & sokong industri tempatan – Dapatkan hasil tani segar, produk kraf, makanan warisan serta produk inovasi usahawan tempatan daripada lebih 2,000 pempamer.
- Bermesra dengan haiwan – Anak-anak boleh melihat, membelai dan berinteraksi dengan haiwan ternakan serta peliharaan di kawasan seperti Laman Veterinar dan Perikanan.
- Jelajah kebun & laman agromakanan – Terokai kebun sayur, Laman Florikultur, Laman Nanas, Padi dan Kebun Kelulut sambil melihat sendiri teknologi seperti smart farming dan hidroponik.
- Cari spot OOTD – Laman bunga, landskap MAEPS dan pelbagai dekorasi bertemakan sambutan kemerdekaan juga boleh menjadi lokasi menarik untuk bergambar.
- Nikmati makanan & hiburan malam – Korang boleh singgah ke Food Truck Fiesta, Floating Market dan Empayar Makanan selain menikmati pertunjukan cahaya, laser serta aksi dron pada waktu malam.
Kalau datang bersama anak-anak, jangan lupa cari dua maskot rasmi MAHA 2026, Che Lah dan Che Yam. Mereka ini adalah rakan tani MAHA 2026 yang mencerminkan identiti serta semangat komuniti pertanian Malaysia.Nanti, bolehlah korang sekeluarga bergambar kenangan dengan mereka!
Sambutan ambang Merdeka meriah
Lebih menarik, MAHA 2026 berlangsung dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan. Selain penglibatan sektor agromakanan dalam Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026 menerusi kereta berhias dan jentera pertanian moden, pengunjung juga dijemput meraikan Malam Ambang Merdeka di MAHA.
Bagi memudahkan pergerakan orang ramai pada malam tersebut, perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT dan bas perantara akan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi, membolehkan korang menikmati kemeriahan malam tanpa terlalu risau tentang perjalanan pulang.
Dari MAEPS ke pasaran antarabangsa
Di sebalik pelbagai aktiviti yang boleh dinikmati pengunjung, MAHA 2026 sebenarnya membawa agenda ekonomi yang jauh lebih besar.
Menerusi inisiatif MAHA Go Global, penyertaan dari 14 negara luar serta kehadiran 40 pembeli antarabangsa yang terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan produk ke pasaran luar negara.
Pada masa sama, MAHA turut memberi tumpuan kepada generasi muda. Sekurang-kurangnya 800,000 belia, termasuk pelajar sekolah, penuntut TVET dan usahawan muda, disasarkan mendapat pendedahan menerusi program seperti Agro Masterclass & Competition.
Ini penting kerana masa depan sektor agromakanan bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga kepada generasi baharu yang mampu mengembangkan inovasi, keusahawanan dan penyelesaian untuk cabaran makanan pada masa hadapan.
Jom datang MAHA 2026!
Buat korang yang sedang mencari aktiviti menyeronokkan dan dalam masa yang sama memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu kepada seluruh keluarga, MAHA 2026 boleh dimasukkan dalam senarai.
Daripada melihat teknologi pertanian moden, meneroka kebun dan zon haiwan, mencuba makanan tempatan, membeli produk usahawan Malaysia hinggalah menikmati kemeriahan Ambang Merdeka, ada banyak perkara untuk diterokai sepanjang 10 hari penganjuran.
MAHA 2026
- Tarikh: 28 Ogos hingga 6 September 2026
- Masa: 10:00 pagi hingga 10:00 malam
- Lokasi: Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor
- Kemasukan: Percuma
Jadi, tandakan tarikh dalam kalendar dan ajak keluarga atau kawan-kawan. Siapa tahu, selepas satu hari di MAHA 2026, korang bukan sahaja pulang dengan gambar dan buah tangan, tetapi turut membawa perspektif baharu tentang bagaimana pertanian moden membantu membina masa depan makanan Malaysia.