berita

Mahu Suara Mereka Didengari, Ini Antara Insiatif Kerajaan Dalam Memperkasakan Golongan Belia!

November 14th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Kredit: PMO Official Website

Bila sebut tentang golongan belia, ramai yang mengklasifikasikan golongan ini sebagai mentah atau masih hijau dan pandangan mereka sering kali dianggap tidak penting.

Sebaliknya, golongan ini seharusnya diberi peluang dalam membangunkan dan memajukan negara kerana mereka yang bakal menggantikan golongan pemimpin dan merupakan pemangkin masa depan negara.

Belia juga merupakan golongan yang paling aktif dengan bilangan mereka adalah hampir separuh daripada jumlah penduduk negara kita.

Oleh yang demikian, sebagai pengiktirafan terhadap usaha belia negara yang turut menyumbang dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan sejak kemerdekaan, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan polisi baharu untuk mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan golongan belia di Malaysia.

Aspirasi dan pandangan belia penting bagi hala tuju negara

Memetik ucapan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 di Padang Pekan Tuaran, Sabah pada 16 Julai lalu, hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.¹

Angka ini menunjukkan bahawa bilangan belia mampu mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara, sekaligus sebenarnya memainkan peranan yang sangat signifikan terhadap kemajuan negara.

PM lantik Senator belia ke Dewan Negara

Dalam Sambutan Hari Belia Negara 2022 itu juga, Perdana Menteri telah mengumumkan untuk melantik seorang Senator daripada golongan belia sebagai wakil di Dewan Negara.

Pelantikan hasil perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan ini juga adalah setelah melihat betapa pentingnya suara dan pandangan belia untuk masa depan negara.

“Saya percaya, dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia kita didengar secara terus daripada wakil belia kita,” katanya.²

Kerajaan peruntukkan RM20 juta untuk bina litar lumba drag

Kredit: Bernama

Tidak ketinggalan buat peminat sukan permotoran yang kebanyakannya dari golongan belia, Perdana Menteri juga telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar lumba drag sebagai usaha untuk mempromosikan sukan ini dengan cara yang betul.

Cadangan ini pada mulanya diumumkan pada 13 Ogos lalu, sempena perasmian Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Litar Permotoran Drag Strip, Gong Badak.

Setakat ini, dua litar drag telah siap dibina iaitu di Terengganu dan Melaka dan kerajaan dalam cadangan untuk membangunkan sebuah lagi litar di Bera, Pahang.

PM lantik wakil belia Felda sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda

Pada Februari lalu, kerajaan telah melantik wakil belia Felda sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda bagi sama-sama membangunkan agensi tersebut. Ismail Sabri juga memaklumkan, lantikan itu adalah bagi mengiktiraf peranan belia Felda.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM); RM200,000 kepada Kami Anak Felda (KAF) dan RM100,000 untuk Sekretariat Permuafakatan Siswa Siswi Felda (Persada).

Antara usaha-usaha yang lain yang telah dilakukan sepanjang tahun ini termasuklah:

  • meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan
  • mewujudkan peluang kerjaya (segmen Y-Career) dengan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia Keluarga Malaysia tempatan
  • bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan melaksanakan Program Bank Rakyat UNIpreneur melibatkan 500 mahasiswa daripada setiap 25 buah universiti awam dan swasta
  • merangka Model Baharu Pembangunan Belia 2030 dan banyak lagi.

Menurut Ismail Sabri, dalam kepesatan dunia kini, para belia harus cekap, berdikari dan cakna dengan perkembangan maklumat dan ilmu semasa kerana mereka adalah tulang belakang kepada kekuatan sebuah negara.

Rujukan:

1. https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2022/07/TEKS-UCAPAN-YAB-PM-HARI-BELIA-NEGARA-2022.pdf
2. https://www.sinarharian.com.my/article/211548/berita/nasional/pm-umum-lantik-senator-wakili-belia-di-dewan-negara
3. YouTube: Buletin Tv3; SUKAN PERMOTORAN| Kerajaan Cadang Bina Litar Lumba Drag Di Setiap Negeri

 

SKIP THIS AD ×