Kisah dua jiran yang sebelum ini tular kerana insiden pergaduhan dikenali sebagai ‘Mak Cik Blower’ dan ‘Mak Cik Tudung Hijau’ akhirnya menemui titik noktah apabila kedua-dua keluarga terbabit mencapai kata sepakat untuk berdamai.

Artikel Berkaitan: Selalu Bergaduh Bising Bunyi Ayam, Lelaki Tergamak Bakar Jiran Sendiri Hidup-Hidup

Henti sengketa

Menerusi hantaran di TikTok seorang individu bernama Abel, memaparkan kedua-dua wanita berkenaan berpelukan sambil menangis, menandakan berakhirnya sengketa yang sebelum ini menarik perhatian ramai.

Assalamualaikum, saya Abel (jiran kanan). Kata sepakat dilakukan di majlis kedamaian antara kami bertiga.

Saya sendiri, Abel ingin memohon maaf sekiranya ada berlaku perselisihan faham dan segala salah silap daripada pihak saya juga.

Pemilik video tersebut juga berharap, kejadian yang pernah mencetuskan kecoh di media sosial itu menjadi pengajaran kepada orang ramai.

Setiap manusia melakukan kesalahan termasuk diri sendiri, maka ambillah iktibar dengan apa yang sudah terjadi. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terima kasih semua.

Menariknya, detik perdamaian itu berlaku ketika sambutan Hari Deepavali, sekali gus disambut dengan gembira oleh netizen yang membanjiri ruangan komen dengan kata-kata positif dan ucapan syukur.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pergaduhan membabitkan lima wanita menggunakan penyapu, gayung dan penyodok sampah sebagai senjata yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib sebelum ini mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa semua individu yang terlibat telah dikenal pasti.

Siasatan mendapati punca insiden berpunca daripada salah faham antara jiran tetangga dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam rusuhan bersenjata.

Sumber: TikTok