berita

Makan Malam Terakhir, Empat Sekeluarga Maut Dirempuh Treler & Dihempap Bahan Binaan

February 14th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

 

Di Sungai Siput, empat sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berusia 16 bulan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kemalangan maut itu berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga ini telah bertembung dengan sebuah treler di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar sekitar jam 10:20 malam (13 Februari 2020).

Empat sekeluarga maut

Menerusi laporan Sinar Harian, ketika kejadian mangsa iaitu Koperal Mohamad Faiz Bakhari seorang polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput bersama isterinya, Nik Iedayu Nik Hassan, anak sulung, Muhammad Fariz Iskandar dan anak bongsunya, Muhammad Faqih Irsyad berusia 16 bulan serta kakak ipar, Nik Ifeka Nik Hassan baru sahaja dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai makan malam di restoran berdekatan.

Tetapi malangnya, tidak sempat berbuat demikian sebuah treler bermuatan bahan binaan secara tiba-tiba telah terbabas dan memasuki jalan bertentangan sehingga telah bertembung dengan kereta jenis Proton Saga yang dinaiki keluarga ini. Kesemua mangsa telah dihempap dengan bahan binaan yang berat itu.

Seorang anak terselamat

 

 

 

 

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Jeffery Abdullah berkata, pasukan mereka bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan berhubung dengan kemalangan tersebut.

Mangsa yang tersepit adalah pemandu dan seorang wanita di bahagian penumpang belakang manakala kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun di tempat duduk penumpang hadapan.

Kanak-kanak terbabit terselamat apabila dia terperosok di bawah papan pemuka dan anggota bertindak menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan kesemua mangsa.

Pemandu treler cedera ringan

 

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak lelaki mangsa, Muhammad Fariz Iskandar yang berusia 3 tahun telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kerana mengalami kecederaan parah. Kesemua mayat mangsa yang lain diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, pemandu treler tersebut dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan dan dia telah ditahan pihak polis untuk diambil keterangan berhubung dengan kejadian ini.

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kota Bharu, Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.

Sumber: Sinar Harian, Astro Awani

SKIP THIS AD ×