berita

Malaysia Dan Arab Saudi Bersetuju Pertingkat Hubungan Pertahanan Dalam Lawatan Rasmi.

June 19th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengadakan lawatan rasminya ke Arab Saudi atas jemputan Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz untuk berbincang mengenai industri pertahanan kedua-dua negara.

Malaysia dan Arab Saudi juga bertukar pandangan mengenai prospek dan cara untuk membangunkan lagi hubungan pertahanan dua hala dan mempergiatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, ekonomi, pelaburan, ketenteraan dan keselamatan.

Tiga tonggak utama akan diberi tumpuan

Menurut Hishammuddin, Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk meningkatkan hubungan pertahanan melalui pembentukan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi di bawah tiga tonggak utama iaitu kerjasama ketenteraan, kolaborasi industri pertahanan dan kerjasama kebajikan veteran tentera.

“Kami juga akan memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu kepakaran ketenteraan, perubatan ketenteraan dan perisikan ketenteraan kerana kami berhasrat untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan”, tambahnya.

Dalam pada itu, satu kumpulan kerja akan ditubuhkan antara Pihak Berkuasa Am Industri Ketenteraan Arab Saudi (GAMI), Bahagian Industri Pertahanan Kementerian Pertahanan (DID), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengenai perkongsian pengetahuan dan potensi perkongsian industri pertahanan.

Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) juga akan bekerjasama dengan LTAT untuk meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Mengenai memerangi keganasan, kedua-dua Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Hishammuddin juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam memerangi dan membendung ancaman keganasan dan ekstremisme.

Hishammuddin turut mengambil peluang berbincang dengan Putera Mahkota mengenai perkara berkaitan minyak dan gas, keselamatan makanan serta kerjasama ekonomi dan kewangan serta mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertahanan, Putera Khalid bin Salman untuk mengkaji perkongsian Malaysia-Arab Saudi dan aspek kerjasama dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Bukan itu sahaja, beliau turut berkesempatan menemui Menteri Negara dan Ahli Kabinet Arab Saudi, Putera Turki Mohammad Fahd Abdulaziz Al Saud untuk membincangkan kepentingan hubungan dua hala terutamanya bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang lain.

Tambah Hishammuddin lagi, hasil perbincangan akan dilaporkan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan anggota Jemaah Menteri yang berkaitan secepat mungkin untuk membuat persediaan lawatan perdana menteri ke Arab Saudi.

“Semua keputusan mengenai perkara yang memerlukan kerjasama antara kementerian dan/atau antara agensi akan disampaikan dalam mesyuarat Kabinet akan datang”, jelasnya.

SKIP THIS AD ×