berita

Malaysia Masih Bebas Wabak Koronavirus, Ujian Terhadap Kesemua Empat Pesakit Disahkan Negatif

January 24th, 2020 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan empat individu disyaki dijangkiti koronavirus (n-CoV) telah mula dikesan di negara ini. Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdahulu Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Menerusi laporan Astro Awani, kesemua mereka yang disyaki dijangkiti wabak terbabit kemudiannya dimasukkan ke wad pengasingan bagi tujuan rawatan dan siasatan lanjut. Bagaimanapun, ujian makmal ke atas sampel milik tiga orang pesakit itu didapati negatif jangkitan wabak tersebut dan seorang lagi mangsa yang dilaporkan di Sabah dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital negeri itu.

Kesemuanya negatif

Namun terbaru, rakyat negara ini mungkin sudah boleh menarik sedikit nafas lega apabila ujian terhadap pesakit keempat dari Sabah yang disyaki djangkiti wabak koronavirus itu didapati negatif.

Menerusi laporan Harian Metro, Noor Hisham memaklumkan bahawa gejala yang dialami pesakit itu sebenarnya disebabkan influenza A.

Dimaklumkan keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kes disyaki itu oleh pihak IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), mengesahkan beliau negatif bagi jangkitan novel koronavirus.

Gejala dialami pesakit berkenaan adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A.

Pesakit kini dilaporkan beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil.

Susulan itu, ia menjadikan keempat-empat kes yang disyaki dijangkiti wabak itu adalah negatif.

Mula tersebar di Wuhan

Wabak koronavirus mula dijangkiti di Wuhan, China sebelum ianya merebak ke beberapa buah negara lain seperti Hong Kong, Thailand, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, dan terbaru Singapura. Sejak virus misteri yang mula muncul awal bulan ini berlaku, ia telah menyebabkan 17 kematian di China selain 540 kes lagi jangkitan wabak itu disahkan di negara itu.

Media sebelum ini melaporkan, punca utama tersebarnya virus ini adalah disebabkan penjualan binatang eksotik termasuk ular, tikus, serigala hidup, rubah hidup, buaya, salamanders gergasi, burung merak, dan landak di dalam pasar di Wuhan.

Sumber: Berita Harian, Astro Awani, Harian Metro

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×