berita

Mangsa Banjir Bersyukur Terima Wang Ihsan Lebih Awal

January 11th, 2022 | by Nurul
Shout Out!

Kredit: UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Di sebalik kedukaan berdepan bencana menyebabkan kediaman mereka ditenggelami bah, kira-kira 117 mangsa banjir yang berpindah ke Balairaya Kampung Tandong dekat Buloh Kasap di sini, bersyukur dengan keprihatinan agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disalurkan kerajaan.

Penduduk turut berterima kasih kerana BWI diterima awal, ketika masih berada di PPS sekali gus membolehkan mereka membeli barang keperluan segera.

Kredit: NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN

Penduduk Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Sarwan Mohd Nor, 58, berkata dia sudah tiga hari berlindung di PPS Balai Raya Kampung Tandong selepas rumahnya dinaiki banjir sehingga paras bumbung.

Katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku selepas kali terakhir bencana itu berlaku pada tahun 2006 dan 2011 lalu.

“Alhamdulillah, terima kasih atas keprihatinan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, kerana memahami penderitaan mangsa banjir yang sangat terjejas.

“Jika dulu BWI diterima lewat, namun kerajaan kini menyalurkan wang ihsan ketika kami masih di PPS, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan,” katanya ketika ditemui di PPS itu, semalam.

“BWI sangat membantu mangsa banjir yang terjejas”

Kredit: Berita Harian

Banjir bertambah buruk di negeri ini dengan bilangan mangsa banjir melonjak kepada 5,598 orang daripada 1,516 keluarga yang ditempatkan di 79 PPS, setakat jam 12 tengah hari semalam, berbanding 5,479 mangsa daripada 1,486 keluarga di 78 PPS membabitkan tujuh daerah, jam 8 pagi semalam.

Sementara itu, penduduk Kampung Tandong, Mardiana Abdul Aziz, 49, berkata BWI yang ditingkatkan kepada RM1,000 berbanding RM500 sangat membantu mangsa banjir terjejas.

Katanya, proses mendapatkan BWI juga lebih mudah dan tidak perlu lagi mengisi borang dan menyertakan pelbagai dokumen selain pengesahan pihak berkuasa.

“Dulu nak dapatkan bantuan terlalu sukar dan menyusahkan, namun sekarang semua dipermudahkan.

“Terima kasih kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyalurkan BWI dengan segera dan tanpa syarat bukan-bukan.

“Dapatlah penduduk termasuk saya beli keperluan penting termasuk tilam, peti sejuk dan pakaian berikutan hampir semua barangan keluarga sudah tenggelam berikutan air bah melepasi bumbung sejak tiga hari lalu,” katanya.

SKIP THIS AD ×