berita

“MasterChef Malaysia” Kembali Lagi Untuk Musim Kedua!

September 10th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Bermula 8 September 2012 lalu, pihak Astro Ria telah menyiarkan program realiti masakan, MasterChef Malaysia untuk musim kedua. Dengan bertemakan ‘Dapur’ Malaysia ke Persada Dunia, MasterChef Malaysia musim ini bakal memfokuskan kepada penyediaan masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pada musim kedua ini, pihak Astro masih memberikan inspirasi dan peluang kepada para peserta mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan. Mereka yang berpengalaman adalah, Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe dan Chef Zubir Md Zain yang merupakan juri untuk musim lalu. Selain itu, Chef Adu Amran yang pernah muncul di MasterChef Selebriti Malaysia juga akan bertindak selaku juri di MasterChef Malaysia musim kali ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA, Encik Raqim Ahmad, pihak Astro Ria amat berbangga kerana telah menayangkan kembali sebuah program yang dinantikan oleh rakyat Malaysia. Disamping itu, melihat daripada peningkatan jumlah peserta yang terlibat dalam sesi ujibakat yang berakhir pada bulan Jun yang lalu, pihak Astro Ria menjangkakan enam episod ujibakat dan 66 episod seterusnya ini bakal menerima sambutan yang lebih hebat berbanding musim pertama.

Selepas enam episod siaran sesi ujibakat dan cabaran Bootcamp disiarkan, seramai 24 peserta akan berjuang di MasterChef Malaysia untuk musim kedua ini. Di mana, sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Undangan (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Ujian Rasa dan Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Khamis).

Untuk makluman semua, Juara MasterChef Malaysia musim kali ini bakal memenangi wang tunai  sebanyak RM100,000 dan berpeluang untuk tampil di pelbagai program yang akan diaturkan oleh pihak Astro kelak.  Sementara itu, pihak Astro turut mengalu-alukan kehadiran pihak Panasonic Cooking Magic sebagai penaja utama dan MyChef sebagai penaja bersama.