
Dalam industri lakonan, semakin lama seseorang pelakon berada di depan kamera, sepatutnya semakin banyak pengalaman dan kematangan yang boleh dibawa ke dalam sesebuah watak.
Namun bagi pelakon wanita, peningkatan usia kadangkala hadir bersama satu perubahan lain iaitu pilihan karakter yang semakin terhad.
Jika ketika muda mereka boleh menjadi heroin, wanita bekerjaya, antagonis atau karakter romantik, selepas memasuki usia tertentu tawaran mudah beralih kepada watak ibu, ibu mentua atau karakter sokongan kepada pelakon lebih muda.
Persoalannya, adakah ini sekadar proses semula jadi dalam penceritaan atau industri kita masih melihat usia sebagai ‘tarikh luput’ untuk pelakon wanita?
Artikel Berkaitan: Nama Besar & Pengalaman Tidak Lagi Menjamin Tawaran, Perlukah Pelakon Veteran Kejar Populariti Media Sosial?
Artikel Berkaitan: Pelakon Atau Pempengaruh? Apabila Jumlah ‘Followers’ Mula Menentukan Peluang Berlakon
Anne Abdullah: ‘Bukan Hanya Terbatas Kepada Watak Ibu’
Pelakon Anne Abdullah sendiri pernah menyentuh perkara ini secara terbuka. Dalam temu bual bersama mStar pada Mac 2025, Anne yang ketika itu berusia 53 tahun berkata pelakon senior mempunyai pengalaman yang membolehkan mereka membawa pelbagai karakter.
Menurutnya, pelakon berusia tidak seharusnya ‘hanya terbatas kepada watak seorang ibu. Malah Anne juga berpendapat mereka boleh diberikan watak jahat, karakter tidak stabil atau apa sahaja peranan yang lebih mencabar.
Kenyataan Anne membuka persoalan yang cukup jelas. Masalahnya bukan apabila seseorang pelakon wanita membawa watak ibu. Masalah timbul apabila ‘ibu’ menjadi hampir satu-satunya pilihan yang tersedia selepas seseorang wanita mencapai usia tertentu.
Bayangkan jika lebih banyak pelakon senior diberikan watak sebagai peguam, ahli politik, detektif, ketua syarikat, penjenayah atau wanita yang memulakan kehidupan baharu selepas perceraian. Bukankah itu juga realiti wanita di luar televisyen?
Norlia Ghani Pernah Rasa Seperti Tidak Lagi Diperlukan
Isu tersebut sebenarnya bukan perkara baharu. Pada 2017, pelakon veteran Norlia Ghani pernah meluahkan rasa terpinggir apabila mendapati produksi lebih mengutamakan nilai komersial sehingga watak ibu dan nenek kadangkala diberikan kepada pelakon yang jauh lebih muda.
Norlia turut mempersoalkan situasi apabila pelakon yang membawa watak nenek hampir sebaya dengan pelakon yang menjadi anak atau cucunya. Lebih menyedihkan, Norlia ketika itu mengakui pernah melalui tempoh tanpa tawaran lakonan sehingga merasakan pelakon lama sepertinya seolah-olah tidak lagi diperlukan dalam industri.
Hampir sedekad kemudian, isu berkaitan layanan terhadap pelakon veteran masih dibangkitkan. Pada Mei 2026, Norlia sekali lagi meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir pengurusan produksi yang didakwanya kurang menghargai pelakon lama terutama dalam soal bajet dan bayaran.
Ia menunjukkan isu pelakon senior bukan hanya berkaitan jumlah watak, tetapi turut melibatkan bagaimana nilai mereka dilihat oleh industri.
Semakin Berusia, Semakin Sukar Menjadi Pasangan Romantik?
Satu lagi perkara menarik ialah bagaimana usia sering mempengaruhi pemilihan pasangan dalam sesebuah drama.
Pelakon Rita Rudaini pernah memberitahu New Straits Times pada 2017 dia tidak mahu menerima watak utama sekiranya hero yang digandingkan dengannya terlalu muda kerana bimbang pasangan tersebut kelihatan tidak sepadan di mata penonton.
Kenyataan itu mungkin nampak seperti keputusan peribadi seorang pelakon, tetapi ia turut membuka isu lebih besar. Kenapa perbezaan usia lebih mudah menjadi perhatian apabila wanita lebih berusia daripada lelaki?
Dalam banyak karya, penonton sudah biasa melihat lelaki matang digandingkan dengan heroin lebih muda. Namun apabila situasinya diterbalikkan, faktor usia boleh menjadi sebahagian daripada perbincangan.
Akhirnya, pilihan karakter romantik untuk pelakon wanita matang juga boleh menjadi semakin kecil.
Bukan Sekadar Watak, Nilai Komersial Juga Jadi Pertimbangan
Persoalan usia tidak boleh dipisahkan daripada bagaimana industri menentukan siapa yang dianggap ‘laku’.
Anne Abdullah turut pernah membangkitkan isu diskriminasi bayaran terhadap artis veteran. Dalam temu bual bersama mStar pada November 2024, Anne mendakwa ada keadaan apabila artis lama ditawarkan bayaran rendah sedangkan pelakon baharu boleh menerima bayaran lebih tinggi walaupun belum mempunyai pengalaman yang sama.
Menurut Anne, pengalaman puluhan tahun seseorang pelakon sepatutnya mempunyai nilai tersendiri dan tidak diketepikan hanya kerana usia.
Ini menunjukkan satu lagi cabaran. Apabila populariti media sosial, wajah baharu dan nilai komersial menjadi sebahagian daripada pertimbangan produksi, pelakon berpengalaman mungkin terpaksa bersaing bukan hanya berdasarkan kemampuan lakonan.
Mereka juga perlu bersaing dalam perkara yang tiada kaitan langsung dengan pengalaman di depan kamera.
Jangan Pula Anggap Semua Pelakon Kurang Berlakon Kerana Usia
Pada masa sama, tidak adil untuk mengatakan setiap pelakon wanita selepas 40 kurang muncul kerana tidak mendapat tawaran.
Pelakon, Rita Rudaini misalnya menjelaskan pada 2024 dia sebenarnya masih menerima tawaran lakonan. Namun Rita memilih untuk memperlahankan kerjaya kerana mahu menyesuaikan jadual dengan anak-anak dan hanya mahu menerima projek yang benar-benar berbaloi dari segi naskhah serta komitmen masa.
Perkara ini penting kerana terdapat perbezaan antara ‘tidak ditawarkan’ dengan ‘memilih untuk tidak menerima’. Bagi sesetengah pelakon wanita yang telah lama berada dalam industri, pengalaman juga memberi mereka kelebihan untuk menjadi lebih selektif. Mereka mungkin tidak lagi mahu menerima setiap drama hanya untuk kekal muncul di televisyen.
Maya Karin Buktikan Wanita 40-an Masih Boleh Jadi Hero Aksi
Sebenarnya, usia tidak semestinya menghadkan jenis karakter. Ketika berusia 41 tahun, pelakon Maya Karin menerima tawaran filem Bulan & Pria Terhebat, sebuah filem aksi yang mempertengahkan wanita sebagai antara karakter utamanya.
Maya sendiri berkata antara sebab dia menerima projek tersebut adalah kerana dia belum pernah melakukan filem aksi dan melihat watak itu sebagai sesuatu yang baharu serta menarik untuk kerjayanya.
Pelakon selepas 40 tidak semestinya perlu ‘diturunkan’ terus kepada karakter ibu kepada hero. Mereka masih boleh berlari, berlawan, menjadi antagonis, membawa thriller psikologi atau mengetuai sebuah cerita. Yang diperlukan hanyalah skrip dan produksi yang mahu memberikan peluang tersebut.
Nabila Huda Terus Membawa Karakter Berbeza Selepas 40
Pelakon, Nabila Huda turut menjadi contoh bagaimana seorang pelakon wanita boleh terus membawa watak menarik apabila memasuki usia 40-an.
Ketika berusia 40 tahun pada 2024, Nabila memberikan komitmen besar untuk menjayakan karakter wanita hamil dalam sebuah projek sehingga sanggup menguruskan sendiri sebahagian persediaan penampilan wataknya.
Setahun kemudian, namanya sekali lagi berada dalam senarai calon Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 menerusi Telaga Suriram bersama nama seperti Sofia Jane, Khatijah Tan dan Maya Karin.
Pelakon wanita matang tidak kehilangan kebolehan apabila usia meningkat. Malah pengalaman puluhan tahun boleh menjadikan persembahan mereka lebih berlapis.
Persoalannya ialah sama ada industri mempunyai cukup banyak watak untuk memanfaatkan pengalaman tersebut.
Masalahnya Usia Atau Kekurangan Cerita?
Mungkin persoalan sebenar bukanlah mengapa semakin sedikit pelakon wanita selepas 40 menjadi heroin. Sebaliknya, mengapa terlalu sedikit cerita ditulis tentang wanita selepas usia 40?
Kehidupan wanita tidak berhenti selepas berkahwin atau mempunyai anak. Ada yang baru mencapai kemuncak kerjaya pada usia 45. Ada yang jatuh cinta semula pada usia 50. Ada yang berdepan perceraian, menjaga ibu bapa, membesarkan anak, membina perniagaan, kehilangan pasangan atau memulakan kehidupan dari kosong.
Semua itu mempunyai potensi menjadi cerita. Tetapi jika sebahagian besar drama masih berputar pada formula lelaki kaya, wanita muda, perkahwinan dan orang ketiga, ruang untuk karakter wanita matang sudah tentu menjadi semakin sempit.
Usia Sepatutnya Menambah Nilai, Bukan Mengecilkan Watak
Pelakon wanita selepas 40 tidak kekurangan pengalaman. Sebaliknya, mereka mempunyai sesuatu yang tidak boleh diberikan oleh wajah baharu begitu sahaja: puluhan tahun pengalaman hidup dan lakonan.
Anne Abdullah sendiri sudah mengingatkan bahawa pelakon senior mampu membawa lebih daripada sekadar karakter ibu.
Mungkin sudah tiba masanya industri berhenti melihat usia sebagai faktor untuk mengecilkan watak. Kerana jika pelakon lelaki masih boleh menjadi hero, ketua mafia, ahli korporat atau watak romantik ketika usia semakin meningkat, pelakon wanita juga sepatutnya diberikan ruang yang sama.
Masalahnya mungkin bukan pelakon wanita sudah terlalu berusia untuk menjadi heroin. Masalahnya kita masih belum menulis cukup banyak cerita yang melihat wanita selepas 40 sebagai heroin dalam kehidupan mereka sendiri.





![[VIDEO] ‘Saya Harap Kebenaran Akan Berpihak Kepada Kami’ – Caprice](https://asset.ohbulan.com/2026/08/caprice-3.jpg)


