Seorang pelajar sekolah di Indonesia ditemui maut selepas keluar untuk membeli barang secara cash on delivery (COD), pada 11 Januari lalu.
Dibunuh, dibuang di sungai
Memetik laporan Kompas TV, mangsa yang dikenali sebagai Putri Regita Amanda keluar rumah pada 10 Januari lalu dengan menaiki motosikal Honda Vario dan membawa telefon bimbit. Dia memaklumkan kepada bapanya, Misman bahawa dia akan bertemu seseorang untuk membeli barang secara COD.
Namun, menjelang malam Putri masih belum pulang. Misman cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi panggilannya tidak dijawab. Sehinggalah jam 1 pagi, telefon bimbit tersebut kembali aktif, namun masih tiada respon daripada Putri.
Keesokan paginya, Misman menerima berita tentang penemuan mayat seorang gadis melalui media sosial. Setelah bergegas ke hospital, keluarganya mengesahkan bahawa mayat yang memakai sweater kuning itu adalah Putri.
Putri yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu ditemui tidak bernyawa di sungai.
Teman lelaki ditahan polis
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Jombang, AKP Margono Suhendra berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan akibat pukulan benda tumpul pada kening mangsa serta kecederaan akibat hentakan di bahagian perut yang boleh menyebabkan kematian.
Luka-luka tersebut menunjukkan bahawa Putri telah dianiaya oleh pelaku sebelum meninggal dunia. Hasil bedah siasat juga mengesahkan punca utama kematian adalah akibat lemas.
Kemungkinan besar, sebelum itu (mangsa) sudah lemah atau tidak berdaya. Mangsa dibuang ke sungai dalam keadaan masih hidup.
Siasatan pihak polis akhirnya membongkar dalang di sebalik pembunuhan kejam ini. Suspek utama merupakan teman lelaki mangsa sendiri dan dua rakannya dipercayai turut terlibat menganiaya mangsa.
Difahamkan, motosikal dan telefon bimbit milik mangsa telah dijual oleh mereka untuk mendapatkan wang.
Ketiga-tiga suspek ditahan oleh pihak polis di Kabupaten Kediri dan kini sedang disiasat untuk tindakan lanjut.
Sumber: Kompas TV