Semalam viral di twitter apabila penemuan satu nota di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, Tanjong Karang. Nota misteri yang diletakkan dalam peti surat Surat Batu 11 itu menjadi tanda tanya netizen.
Walau bagaimanapun, hasil siasatan pihak berkuasa menemui mayat seorang lelaki di rumah berkenaan dan khabarnya sudah dikebumikan pagi tadi.
Dipercayai milik warga Indonesia
Dalam kejadian 2 petang itu, jemaah surau itu baru selesai menunaikan solat Zuhur terkejut menemui nota yang meminta penduduk kampung menguruskan jenazah.
Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melaka, Mohd Jamil Baharom, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang penduduk
Saya hadir pada 5 petang dan ketika itu, pihak polis dan penduduk kampung berada di lokasi kejadian. Saya masuk ke dalam rumah dan terkejut melihat jasad manusia berada dalam keadaan terlentang.
Mayat itu dipercayai milik seorang lelaki warga Indonesia berusia 60-an dan dikenali penduduk setempat. Mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) pada 6 petang untuk bedah siasat.
Arwah baik orangnya
Tambahnya lagi, rumah itu sebelum ini dimiliki seorang guru lelaki yang menetap bersama keluarganya, namun dia meninggal dunia dan kediaman itu dijual sekitar 1990-an.
Dia (lelaki warga Indonesia) sebelum ini mengambil upah membersihkan persekitaran rumah itu, tetapi dia tidak kelihatan setahun lalu.
Saya difahamkan arwah mungkin datang semula ke kampung ini dan mungkin baru sebulan meninggal dunia.
Lebih menghairankan dan pelik apabila mayat itu dalam keadaan sempurna dan tidak berbau selain menganggap ia kebesaran Allah.
Pada waktu hayatnya, arwah baik hati, sering berjemaah di surau dan tidak banyak bercakap.
Tidak pernah hidu bau pelik
Sementara itu, peniaga kedai makan yang berhampiran kawasan itu terkejut apabila dia yang pulang dari pasar melihat polis dan penduduk kampung berkumpul di rumah itu.
Jarak kedai makan saya dengan rumah itu kira-kira 120 meter dan saya tidak pernah terhidu bau mencurigakan sebelum ini. Pelanggan yang biasa ke kedai memaklumkan ada mayat dalam rumah tu. Sepanjang beroperasi, saya dan pekerja tidak hidu bau pelik.
Malah, jiran sebelah rumah itu turut terkejut apabila dimaklumkan perkara itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat sebagai mati mengejut.
Sumber : Harian Metro, Azrul