Juara program realiti Kilauan Emas 2025, Mazleen tampil membuka mulut selepas dikaitkan dengan tuduhan menipu dan gagal melunaskan bayaran kepada vendor yang membekalkan barangan untuk kiosk makanannya.

Artikel Berkaitan: Mazleen Masih Terus Kerjaya Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Sudah ‘Dilamar’ Komposer Untuk Buat Lagu

Tak larikan diri

Menjelaskan hal sebenar, Mazleen atau nama sebenar Mazlin Abu Bakar, 45, mengakui isu tersebut berpunca daripada perniagaannya yang kini ditangguhkan sementara bagi memberi tumpuan terhadap pertandingan yang disertainya.

Saya percaya dakwaan itu datang daripada urusan perniagaan yang saya hentikan sementara sejak enam bulan lalu. Saya berehat sebab nak fokus kepada Kilauan Emas.

Nak masuk pertandingan bukan boleh terus masuk, ada tempoh persiapan yang panjang, jadi saya putuskan untuk rehat sekejap daripada semua kerja itu (perniagaan).

Mazleen berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Mazleen, dia sudah memaklumkan lebih awal kepada pihak terbabit mengenai keputusannya menangguhkan operasi perniagaan dan menolak dakwaan dirinya melarikan diri atau menipu sesiapa.

Katanya lagi, dia juga mengambil pendekatan untuk tidak membaca sebarang komen di media sosial bagi mengelak gangguan emosi sepanjang penyertaannya dalam pertandingan itu.

Saya dinasihatkan oleh pihak pengurusan supaya tidak baca komen. Kadang-kadang orang komen bukan untuk faham, tapi untuk menjatuhkan. Jadi lebih baik saya fokus pada nyanyian.

Bidang seni dan perniagaan adalah dua dunia berlainan. Tak adil untuk orang terus menghukum tanpa tahu cerita sebenar. Bila kita semakin dikenali, perkara macam ni memang akan muncul.

Berhubung isu pembayaran yang tertunggak, Mazleen menegaskan dia tidak pernah melarikan diri dan akan menyelesaikan semua urusan yang tergendala dalam masa terdekat.

Alhamdulillah, saya masih di sini dan tidak ke mana. Bila semuanya stabil, saya akan kembali menyelesaikan tanggungjawab yang tertunggak.

Terdahulu, ada pihak mendakwa Mazleen berhutang sebanyak RM3,600 kepada seorang pembekal serta gagal memberikan kerjasama bagi menyelesaikan pembayaran.

Dakwaan itu turut disertakan dengan transaksi palsu yang dikatakan diterima daripada pihak Mazleen.