Bila berlaku bencana, perkara paling penting selain keselamatan fizikal adalah kekal terhubung sama ada untuk hubungi ahli keluarga, pasukan penyelamat, atau terima maklumat rasmi.

Itulah yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) apabila mereka menggerakkan kemudahan komunikasi mudah alih PRIME serta mengaktifkan sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi membantu mangsa bencana di Sabah.

PRIME: ‘Mobile Hub’ Komunikasi Kecemasan

Untuk yang mungkin tertanya, PRIME ialah singkatan bagi Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak. Ia merupakan kenderaan khas dilengkapi teknologi komunikasi moden yang boleh berfungsi sebagai pusat rangkaian sementara.

Antara teknologi yang ada dalam PRIME:

  • Komunikasi satelit – bila tiada liputan telefon.
  • Rangkaian selular mudah alih – macam bawa “signal tower” bergerak.
  • Radio dua hala – untuk pasukan operasi.
  • Wi-Fi hotspot – bagi akses internet pantas.
  • Drone – untuk luaskan liputan di kawasan kritikal.

Bayangkan, walaupun infrastruktur komunikasi terputus, menerusi PRIME, pasukan penyelamat dan komuniti masih boleh kekal terhubung.

NADI: Internet Komuniti Untuk Semua

Selain PRIME, 131 pusat NADI di Sabah turut diaktifkan. Berikut merupakan tujuannya:

  • Supaya masyarakat terkesan boleh berhubung dengan keluarga.
  • Terima maklumat rasmi & sahih daripada pihak berkuasa.
  • Akses internet sementara untuk kegunaan harian.

Pemulihan Menara & Kerjasama Dengan SESB

MCMC juga umumkan bahawa setakat ini, 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan elektrik. Namun, lebih separuh (147 menara) sudah kembali beroperasi hasil kerja-kerja pemulihan berperingkat.

Bagi pastikan proses lebih pantas, MCMC tubuhkan Task Force khas bersama syarikat telekomunikasi dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). Fokus utama termasuk:

  • Memulihkan collector sites & tapak kritikal.
  • Menyalurkan bekalan kuasa sementara melalui genset.
  • Memantau keadaan semasa di lokasi bencana.

Bukan Untuk Bencana Sahaja

Menariknya, PRIME bukan hanya digerakkan masa bencana. Ia juga boleh digunakan untuk beberapa perkara terdiri daripada program literasi digital di luar bandar, sokongan kepada pusat komuniti digital NADI dan acara besar yang perlukan sistem komunikasi tambahan.

Menjelang hujung 2025, dua lagi unit PRIME akan diwujudkan khusus untuk Sabah & Sarawak.

Inisiatif MCMC melalui PRIME dan NADI ini jelas menunjukkan usaha serius untuk pastikan rakyat Sabah kekal berhubung dalam apa jua keadaan. Lebih daripada sekadar teknologi, ia adalah soal keselamatan, kesejahteraan, dan sokongan kemanusiaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai PRIME, boleh layari laman rasmi MCMC atau hubungi talian MCMC di 1800-188-030.