Media Prima Audio (MPA) yang menaungi lima stesen radio iaitu Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM, dan Eight FM MPA secara rasmi telah melancarkan studio penyiaran serba canggih dengan penggunaan teknologi terkini.
Studio radio baharu
Pelancaran studio baharu di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar sempena Hari Radio Sedunia 2025 menandakan era baharu dalam dunia penyiaran.
Dengan sentuhan inovasi berasaskan teknologi canggih, MPA terus komited terhadap kelestarian dan kecemerlangan bagi memastikan pendengar di Malaysia menikmati pengalaman radio, penstriman dan media digital yang lebih interaktif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPA iaitu Nazri Noran, MPA menjalin kerjasama antara penyedia kandungan berasaskan AI, Metaspace termasuk EV SUN selaku syarikat pengeluar pencahayaan pintar yang digunakan dalam studio penyiaran radio.
Apa yang penting adalah moden tetapi minimal dengan menggunakan teknologi AI. Kami bekerjasama dengan Metaspace yang merupakan teknologi dari China. Banyak teknologi AI sesuai dengan visi kami.
EV SUN ini juga mempunyai aspek keselamatan dan kesihatan. EV SUN ni kebetulan mereka cipta satu teknologi yang melindungi studio daripada bakteria dan kulat.
EV SUN & Metaspace
Selain menfokuskan aspek kesihatan, EV SUN juga mampu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih untuk penyiar dan tetamu. Ia juga mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan, sejajar dengan komitmen Media Prima Berhad terhadap kelestarian alam sekitar (ESG).
Manakala Metaspace pula berupaya mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam penyiaran, termasuk pengacara maya, produksi rancangan imersif, serta kandungan yang dijana AI (AI-Generated Content, AIGC).
Sebagai peneraju dalam bidang AI digital humans, penyiaran realiti terimbuh (XR/MR), dan kandungan interaktif, Metaspace membawa dimensi baharu dalam pengalaman media serta memperkenalkan teknologi AI-powered storytelling di Malaysia.
Pelancaran ini diakhiri dengan lawatan eksklusif ke studio, membolehkan tetamu merasai sendiri keupayaan dan teknologi penyiaran generasi baharu yang dimiliki oleh MPA.
Turut hadir pada majlis pelancaran studio MPA dan sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Metaspace dan EV SUN adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EV SUN, Nelson Lim; Ketua Pegawai Operasi Metaspace, Sharon Lim; Ketua Pegawai Strategi Metaspace, Leo Li Yu dan Ketua Pegawai Eksekutif, EN Distribution Sdn Bhd, Adrian Peh.