berita

Media Prima Catat Keuntungan RM51.6 Juta Bagi Tahun Kewangan 2021

February 23rd, 2022 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad hari ini mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM51.6 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21), memperbaiki kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM18.1 juta bagi tahun dalam perbandingan (FY20). Ini merupakan keuntungan tahun penuh pertama Kumpulan sejak tahun kewangan 2018.

Biarpun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar disebabkan pandemik Covid-19, perolehan Kumpulan meningkat sebanyak 8% kepada RM1.1 bilion pada FY21 berbanding RM1.0 bilion pada FY20, dibantu oleh perolehan pengiklanan yang kukuh dari platform jualan Kumpulan, Media Prima Omnia (Omnia)

Omnia pacu pengiklanan

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun sejak penubuhannya, Omnia telah menjadi peneraju dalam pasaran setelah berjaya menggabungkan pelbagai platform Kumpulan dan mencapai lebih 98% penduduk Malaysia bagi menyediakan pelanggan penyelesaian jualan yang unik dan holistik. Omnia juga telah bekerjasama dengan jenama global termasuk Disney+ Hotstar, Foodpanda, Lazada, Samsung dan Shopee. Rekod prestasinya yang kukuh, bersama dengan pembukaan semula ekonomi, telah menggiatkan semula perolehan pengiklanan Kumpulan yang meningkat sebanyak 16% pada FY21 berbanding tahun sebelumnya.

Perolehan pengiklanan Kumpulan yang lebih kukuh juga disokong oleh perniagaan penyiarannya yang mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 38% berbanding tahun sebelumnya. Perolehan jualan kandungan meningkat tiga kali ganda pada FY21 berbanding tahun sebelumnya, membuktikan kejayaan pelaksanaan strategi pengedaran dan program kandungan kami. Sebagai salah satu platform kandungan terbesar di Malaysia, Media Prima bersedia untuk menjadi rakan kongsi strategik untuk platform penstriman Over-The-Top (OTT) yang sedia ada dan baharu di pasaran tempatan.

Kekal penerbit digital terkemuka

Media Prima kekal sebagai penerbit digital terkemuka bagi audiens peranti mudah alih setelah memperoleh 15.9 juta pelawat unik pada Disember FY21. Perniagaan digital Kumpulan yang dipacu oleh REV Media Group, mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 10% pada FY21 berbanding tahun lepas, disokong oleh perolehan pengiklanan yang lebih memberangsangkan.

Perniagaan penerbitan Kumpulan, New Straits Times Press (“NSTP”) pada FY21 mencatatkan keuntungan disokong oleh kos strukturnya yang lebih optimum dan pertumbuhan dalam perolehan percetakan dan pengedaran lebih daripada 20% pada FY21 berbanding tahun sebelumnya. Portal dalam talian milik NSTP seperti myMetro (hmetro.com.my) dan BH Online (bharian.com.my) telah disenaraikan sebagai portal berita dalam talian yang paling banyak dibaca di Malaysia dengan 8.0 juta dan 7.4 juta jumlah pelawat unik purata masing-masing.

Perniagaan lain dalam Kumpulan kekal berdaya tahan. Dari segi perniagaan perdagangan Kumpulan, WOWSHOP mencatatkan tahun yang menguntungkan sekali lagi walaupun terdapat peningkatan dalam pilihan membeli-belah di kedai berikutan penarikan perintah kawalan pergerakan. WOWSHOP akan terus mempertahankan kedudukannya sebagai rangkaian perdagangan terkemuka walaupun berhadapan dengan persaingan sengit dengan memanfaatkan populariti dan capaian jenama televisyen Media Prima, memperkukuhkan platform e-dagangnya dan menambah baik kepelbagaian dan kualiti kandungannya.

Langkah rasionalisasi

Perniagaan Pengiklanan-Luar-Rumah Kumpulan, Big Tree, telah terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan tahun lepas. Walaubagaimanapun, Big Tree telah mengambil langkah proaktif melaksanakan rasionalisasi aset, merangkumi kajian semula aset yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan dan mengakibatkan penjejasan nilai secara one-off. Big Tree akan menumpukan pada tapak struktur yang mempunyai permintaan tinggi dan juga akan mengekalkan kelebihan daya saingnya sebagai peneraju penyedia penyelesaian Pengiklanan-Luar-Rumah yang terkemuka

Media Prima turut mengumumkan keputusan bagi tiga bulan berakhir 31 Disember 2021 (4QFY21). PAT Kumpulan meningkat sebanyak 53% pada 4QFY21 berbanding suku keempat perbandingan (4QFY20). Ini merupakan prestasi keuntungan kumpulan yang paling kukuh (tidak termasuk butiran berkecuali pada tahun-tahun lepas seperti yang direkodkan pada FY18) sejak suku keempat tahun kewangan 2015. Media Prima kekal sebagai syarikat konstituen FTSE4Good Index Series Bursa Malaysia berikutan penilaiannya pada Disember 2021. Ini adalah pengesahan kuat terhadap komitmen kami untuk memastikan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang meliputi seluruh Kumpulan.

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima, berkata, FY21 merupakan tahun yang cemerlang bagi Kumpulan apabila berjaya melepasi sasaran perolehan dan keuntungan .

Walaupun berdepan dengan cabaran yang menjejaskan industri media dan juga kesan pandemik Covid-19, perolehan pengiklanan kami meningkat daripada tahun lepas, diterajui oleh pasukan jualan kami yang efektif di bawah Omnia. Segmen digital dan perdagangan kami kekal kukuh meskipun persaingan daripada syarikat lain dan trend media yang sentiasa berubah. Semua ini menyemarakkan keyakinan kami terhadap masa depan Media Prima dan mewujudkan asas yang kukuh untuk perkembangan Kumpulan. Memandangkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula pada 2022, kami akan melangkah lebih jauh dan terus berusaha lebih lagi kepada audiens dan pengiklan kami.

Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, berkata, tahun 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi kumpulan namun ia telah menjadi satu rekod pencapaian terbaik sepanjang enam tahun ini.

Tahun ini adalah tahun pertama kami mencatatkan keuntungan Kumpulan sejak tahun kewangan 2015 walaupun tahun kewangan 2018 merekodkan keuntungan disebabkan penjualan aset hartanah Kumpulan. Pencapaian 4QFY21 Kumpulan bukan sahaja merupakan keuntungan suku tahunan yang keenam berturut-turut, tetapi juga merekodkan PAT dinormalisasi yang terbaik sejak 4QFY15. Selain itu, kami kekal sebagai pilihan nombor satu Malaysia untuk kandungan peranti mudah alih berbanding pesaing-pesaing yang lebih besar. Kami juga berbesar hati melihat tanda-tanda pemulihan bagi perniagaan penerbitan kami yang merekodkan peningkatan dalam perolehan percetakan dan pengedaran. Ini adalah satu pencapaian besar buat kami dan kami amat berbangga dengan kerja keras pasukan kami.

Dengan sukacitanya, Lembaga Pengarah Kumpulan mengisytiharkan pembayaran dividen pertama dan terakhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Media Prima akan mengekalkan momentum ini dengan menambahkan inisiatif penjanaan perolehan kepada perniagaan pengiklanan, digital dan perdagangan. Media Prima juga akan akan menambah lebih banyak kerjasama strategik untuk mendorong kejayaan Kumpulan, sambil meningkatkan kelebihan daya saingnya.

SKIP THIS AD ×