berita

Media Prima Catat Untung RM12.7 juta Bagi Suku Kedua 2021

August 27th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM12.7 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2021 (2QFY21), mewakili lonjakan positif daripada kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM18 juta bagi tempoh suku tahunan dalam perbandingan (2QFY20).

Ini dicapai melalui peningkatan sebanyak 24 peratus dalam perolehan Kumpulan kepada RM292.4 juta pada 2QFY21 berbanding RM236.3 juta pada 2QFY20, yang dipacu oleh perolehan pengiklanan yang lebih tinggi biarpun cabaran-cabaran berterusan dikaitkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara akibat peningkatan semula kes Covid-19.

Peningkatan perolehan pengiklanan

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (1HFY21), Kumpulan mencatatkan PAT berjumlah RM16.8 juta berbanding LAT sebanyak RM48 juta pada tempoh dalam perbandingan (1HFY20). Perolehan Kumpulan meningkat 15 peratus kepada RM547.0 juta pada 1HFY21 daripada RM474.7 juta pada 1HFY20. Prestasi Kumpulan mencatatkan peningkatan perolehan pengiklanan sebanyak 22 peratus pada 1HFY21 daripada RM280.7 juta pada 1HFY20 yang diterajui oleh bahagian jualan perniagaan bersepadunya, Media Prima Omnia.

Perolehan daripada segmen penyiaran Media Prima meningkat sebanyak 43% pada 1HFY21 berbanding tempoh dalam perbandingan, diterajui oleh peningkatan yang signifikan dalam perolehan pengiklanan televisyen pada 1HFY21 berbanding pada 1HFY20. Rangkaian Televisyen Media Prima kekal sebagai rangkaian televisyen yang utama di Malaysia dengan menguasai sebanyak 35% pasaran penonton televisyen.

Segmen digital berkembang

Perolehan daripada segmen digital Kumpulan, REV Media Group, berkembang sebanyak 11% kepada RM41.7 juta pada 1HFY21 berbanding RM37.7 juta pada tempoh dalam perbandingan yang turut dipacu oleh peningkatan perolehan pengiklanan pada 1HFY21 berbanding 1HFY20.

Perniagaan pengiklanan-luar-rumah milik Media Prima, Big Tree, telah melancarkan media digital luar rumah yang terbesar, CuBig @ KLCC Junction yang menawarkan keupayaan kandungan anamorfik kepada semua yang melihat visual yang hampir menyamai realiti dengan visual 3D pada dimensi skrin digital yang luas. CuBig @ KLCC Junction telah disewa sepenuhnya pada 2QFY21, dengan tempahan sehingga penghujung tahun 2021.

Walaupun industri terkesan dengan cabaran yang berterusan, segmen penerbitan Kumpulan, The New Straits Times Press (NSTP) telah dapat mempertahan perolehan keseluruhannya pada 1HFY21. Ia mencatatkan sedikit penurunan perolehan sebanyak 4% disebabkan penurunan penjualan suratkhabar, namun mencatatkan peningkatan perolehan bagi perkhidmatan percetakan dan pengagihan suratkhabar.

Bagi 2QFY21, NSTP mencatatkan PAT berjumlah RM1.1 juta yang dipacu oleh peningkatan perolehan pengiklanan sebanyak 50% berbanding 2QFY20 dan juga disokong oleh struktur kos yang lebih optimal. Bagi penjualan kandungan kreatif, Media Prima mencatatkan perolehan sebanyak RM20.7 juta pada 1HFY21 berbanding RM5.0 juta pada tempoh dalam perbandingan. Ia diperoleh melalui kolaborasi antara Rangkaian Televisyen Media Prima dan juga Primeworks Studios dengan beberapa platform penstriman popular seperti Disney+ Hotstar, iQiyi dan WeTV.

Dalam segmen perdagangan, perolehan WOWSHOP menguncup secara marginal sebanyak 1% pada 1HFY21 berbanding tempoh dalam perbandingan, disokong oleh gaya perbelanjaan pengguna terhadap segmen beli belah di rumah yang terus kekal kukuh. WOWSHOP mencatatkan PAT sebanyak RM4.5 juta bagi 1HFY21 dan secara keseluruhan, Q2FY21 merupakan suku tahun keenam berturut-turut WOWSHOP mencatatkan keuntungan sejak 1QFY20. Pada 2QFY21, WOWSHOP merekodkan lebih 169,000 pelanggan baru dan menjadikan jumlah pelanggannya kini mencecah 2.8 juta orang sejak ia dilancarkan pada tahun 2016.

SKIP THIS AD ×