Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Media Prima Berhad bersama syarikat Nestle Malaysia berganding bahu dalam usaha murni untuk membantu golongan yang memerlukan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ‘Kotak Rezeki Dari Hati’.

Artikel Berkaitan: Media Prima Audio Jalin Kerjasama Dengan Mydin & MAPIM Malaysia Lancar Misi Bantuan Banjir 2024 #SuaraBantuan

1,300 kotak rezeki diagihkan

Sebanyak 1,300 kotak rezeki yang berupa barangan keperluan runcit seperti beras, bihun, sos cili, kopi, serbuk koko, minuman bertenaga dan makanan ringan berkhasiat akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut wakil Media Prima dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Balai Berita berkata, misi Kotak Rezeki Dari Hati’ merupakan sebahagian daripada kempen Ramadan Raya 2025 (RaRa 2025) Media Prima yang bertemakan ‘Indahkan Memori

Misi ini bertujuan untuk mencerminkan komitmen dan keprihatinan Media Prima dalam menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam menjalani ibadah puasa serta menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma.

Penaja utama program ini, Nestlé Malaysia, menyumbang produk jenamanya yang sudah sinonim dengan rakyat Malaysia seperti Milo, Nescafé, sos cili Maggi, Nestum, serta susu Nespray dan Omega.

Inisiatif amal ini juga dilaksanakan sebagai komitmen berterusan oleh Media Prima dan Nestle Malaysia  untuk sama-sama membantu ekonomi tempatan serta menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan semangat “Dari Rakyat untuk Rakyat”. 

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussain Al Junaid, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Juan Aranols.

Turut hadir dari Nestle Malaysia adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan Hal Ehwal Korporat, Raja Nurmaria Murni, Ketua Eksekutif Perniagaan RTD, Norkhayati Mohamed Hashini, Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo, Ng Su Yen,  Pegawai Eksekutif Perniagaan Nescafe, Raef Labaki, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Ivy Tan dan Pengurus Media Kumpulan, Jessica Lim.

Bantuan diberi kepada golongan memerlukan

Bercerita lanjut, pihak Media Prima memaklumkan bahawa program CSR ini turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan kerjasama lain iaitu Jasmine Food Corporation, pasaraya Econsave, S&P Santan dan Kantin Lab.

Malah, ia juga akan diterajui rancangan televisyen Wanita Hari Ini (WHI), stesen radio Hot FM dan Molek FM serta media cetak Harian Metro untuk menyalurkan bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan.

Bantuan akan diagihkan kepada golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal miskin, rumah-rumah orang tua dan kebajikan, komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan juga petugas barisan hadapan di sekitar lembah klang dan pantai timur. 

Dalam pada itu, Nestle Malaysia juga akan menghasilkan tiga kapsul video yang bertujuan mahu mengangkat slogan ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’.

Kesemua video ini akan menampilkan kisah inspirasi tentang transformasi kehidupan petani dan pekerja tempatan dalam menghasilkan produk berkualiti, yang kemudiannya  disalurkan kepada masyarakat melalui program CSR ini.