
Seorang mekanik telah mendapat perintah reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan samun membabitkan seorang remaja perempuan di Palekbang pada 17 Jun lalu.
Artikel Berkaitan: Pelakon Wanita Drama Kepolisan Didakwa Ditahan Dalam Bilik VIP, Positif Tiga Jenis Dadah
Reman

Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi mengeluarkan perintah reman terhadap suspek berusia 24 tahun sehingga 14 Julai selepas membenarkan permohonan pihak polis.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 kanun sama bagi kesalahan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang sedang beriadah dipercayai diserang lelaki yang tidak dikenali yang memukulnya dengan kayu sebelum dirogol dan disamun pada 17 Jun lalu.
Difahamkan, mangsa dijumpai di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang.
Mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di muka, kepala dan badan
Difahamkan, mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan turut menerima rawatan psikologi.
Sumber: Harian Metro








