berita

Melangkaui Tanggungjawab Sosial Korporat, Ini Antara 5 Inisiatif Menarik TM Untuk Malaysia!

December 26th, 2019 | by Asyraf Khalib
Shout Out!

Apabila bercakap tentang tanggungjawab korporat (CSR), pastinya kebanyakan daripada kita membayangkan kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti amal berbentuk bantuan yang melibatkan kewangan, tenaga kerja dan sokongan moral semata-mata.

Tapi korang tahu tak konsep CSR sebenarnya lebih luas daripada tanggapan klise tersebut? Baru-baru ini kami di OHBULAN! sempat berkunjung ke tapak pameran TM Corporate Responsibility Showcase (TMCRS2019) yang berlangsung di Menara TM.

Program selama tiga hari itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada Warga TM dan orang awam tentang aktiviti-aktiviti Tanggungjawab Korporat TM serta impak positifnya kepada komuniti dan individu berdasarkan tiga teras utama iaitu Ekonomi, Sosial dan Alam Sekitar. Hampir seharian juga kami luangkan masa di TMCRS2019, berikut kami kongsikan 5 inisiatif menarik yang TM dah lakukan untuk Malaysia!

1. Program usahawan wanita bantu perluas perniagaan

Sebagai sebahagian daripada inisiatif keusahawanan mereka, TM telah membantu ibu-ibu tunggal di Pahang dan Kelantan dengan memberikan latihan keusahawanan menerusi Program Sejahtera, manakala Program Usahawan Wanita (PUW) memberikan usahawan wanita akses kepada penyelesaian digital untuk meningkatkan perniagaan mereka. Mereka turut diberi latihan kemahiran asas perniagaan seperti pembukuan akaun dan perniagaan dalam talian seperti pemasaran melalui Facebook.

Baru-baru ini, TM telah membantu para usahawan dari Kg. Tui, Johor untuk menubuhkan perniagaan koperasi bagi memasarkan produk tempatan mereka seperti makanan tradisional dan cenderahati. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk belia di kampung tersebut.

Tidak terhad kepada itu, TM juga mempunyai program keusahawanan TVET dengan para graduan Giat Mara. Program ini mengajar dan memberi pendedahan kepada mereka bagaimana menggunakan penyelesaian digital termasuk kemahiran perniagaan dalam talian untuk menjual produk dan perkhidmatan mereka. Apa yang pasti, usaha TM ini sudah tentu membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

2. Propagasi karang di Pulau Bidong jana ekonomi

Siapa yang pernah sampai di Pulau Bidong? Kalau korang nak tahu, ia merupakan sebuah pulau yang istimewa dengan keindahan pantai, khazanah laut dan nilai sejarahnya.

Selain menjadi destinasi istimewa buat para pelancong dari dalam dan luar negara, pulau ini turut mendapat kelulusan sebagai tapak selaman untuk aktiviti pembiakan karang dan juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Propagasi Karang di peringkat global tau.

Di bawah inisiatif Tanggungjawab Korporat Syarikatnya, TM dengan kerjasama Yayasan Coral Malaysia (YCM), Jabatan Perikanan (DoF) dan Kerajaan Negeri Terengganu, telah menganjurkan program Coral Malaysia Incubators Programme 2019, untuk edisi yang ketiga di Pulau Bidong, Terengganu.

Dengan menjadikan aktiviti propagasi karang sebagai salah satu elemen utama pendidikan ekosistem marin, mereka telah bersama-sama memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan kepentingan ekosistem marin. Propagasi karang kini juga telah membantu komuniti nelayan tempatan dalam mencipta pendapatan alternatif terutamanya semasa musim tengkujuh.

3. Teknologi dalam pendidikan

Selain cerita di Pulau Bidong, TM dengan kerjasama PINTAR Foundation dan rakan usaha sama seperti Creative Minds pula, telah menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan pendidikan menerusi program berkaitan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah.

Antaranya adalah program Robotik TM, percetakan 3D melalui Program TM 3Ducation dan ‘pocket lab’ atau log data melalui Program Nano Maker Kit bagi meningkatkan pengetahuan teknologi dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

TM telah memperuntukkan lebih RM2.4 juta sejak program ini dimulakan pada 2003. Sehingga kini TM telah mempunyai 15 buah sekolah angkat di seluruh negara dan program itu telah memberi manfaat kepada lebih daripada 20,000 orang termasuk pelajar, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

4. Serba boleh, TM ROVers jadi tulang belakang

Inilah wira sebenar rakyat Malaysia! TM ROVers (Reaching Out Volunteers) adalah sukarelawan yang terdiri daripada warga TM yang mengambil bahagian dalam pelbagai program sukarelawan termasuklah membantu semasa berlakunya bencana, pembinaan premis kediaman, latihan kepada pelajar dan banyak lagi. Mereka menjadi tulang belakang dan teras usaha TM yang berterusan, kerana mereka inilah yang terlibat dan turun padang dalam kebanyakan kerja di lapangan.

5. Tawar biasiswa kepada pelajar universiti

Kalau korang nak tahu, Universiti Multimedia (MMU) adalah dimiliki sepenuhnya oleh TM dan merupakan salah satu universiti swasta utama negara yang melatih para pemimpin masa depan untuk era digital. Dengan penekanan kepada subjek STEM, MMU melengkapkan generasi ini untuk bersaing dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Sejak 1994, Yayasan Telekom Malaysia (YTM) telah memberikan lebih daripada RM500 juta biasiswa kepada lebih daripada 15,000 pelajar, membantu mereka mencapai impian mereka sambil membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan bakat berkualiti. Memang mengagumkan!

TM wajar dijadikan contoh!

Sebenarnya ada banyak lagi program dan aktiviti menarik yang telah dijalankan oleh TM dibawah inisiatif Program Tanggungjawab Korporatnya.

Secara keseluruhannya, kesemua inisiatif hebat yang telah dijalankan oleh TM ini secara tidak langsung telah melengkapkan sebuah kitaran kehidupan yang tersendiri di mana segala ilmu dan kebaikan yang diberikan kepada masyarakat akhirnya memberi manfaat yang besar dari satu generasi kepada generasi yang lain.

Semoga segala usaha murni sebegini dapat dicontohi oleh lebih ramai pihak. Kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang program-program menarik TM, jangan lupa layari laman sesawang www.tm.com.my/sustainability sekarang!