
Penyanyi lagenda, Datuk Sheila Majid berpendapat perkongsian berlebihan di media sosial tidak akan mengubah keadaan menjadi lebih baik sebaliknya akan memakan diri seseorang.
Artikel Berkaitan: Sheila Majid Tak Akan Ubah Wajah – ‘Saya Takut Pada Tuhan’
Mengadu pada Allah

Sehubungan dengan itu, Sheila atau nama lengkapnya Shaheila Abdul Majid memaklumkan dia lebih selesa untuk meluahkan segala perasaan kepada Allah SWT berbanding di media sosial.
Saya malu nak buat begitu. Nanti anak akan tanya apa kena dengan saya. Saya tidak akan meluahkan perasaan di media sosial tapi hanya kepada Allah SWT.
Lagipun, orang-orang yang mendengar luahan kita di media sosial ini, boleh bantu kita ke? Atau hanya akan jadi bahan cerita untuk dijaja?
Sebagai artis, kita kena bijak dan menggunakan platform media sosial sebaiknya. Jika kita berkongsi terlalu banyak, ada kalanya orang pun tak lalu nak tengok.
Sheila berkongsi perkara tersebut ketika ditemui OhBulan! ketika majlis sidang media konsert ‘Sheila Majid 40 Years In Music’ bertempat di Westin Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Sinaran’ ini turut menyifatkan era media sosial adalah lebih mencabar buat golongan selebriti masa kini jika hendak dibandingkan zaman dahulu.
Setiap artis ada pilihan dan cara mereka untuk memasarkan diri masing-masing. Tiada betul atau salah. Namun, ini adalah pendirian saya tentang penggunaan media sosial.
Apa sahaja yang anda kongsikan akan mendapatkan reaksi balas daripada netizen. Bukan semua orang suka kita. Jadi, kita kena berhati-hati dengan apa yang kita kongsikan.
Jangan bagi ruang untuk orang kecam kita. Kini, semua orang ada pendapat. Dahulu, kisah artis ini hanya keluar di surat khabar dan orang ramai tak boleh komen sama ada mereka suka atau tidak.
Jadi, kita kena kawal apa yang netizen akan nampak di media sosial. Kalau tak penting, tak perlu kongsi.
Konsert ‘Sheila Majid 40 Years in Music’
Untuk perkembangan terbaharu, Sheila bakal mengadakan konsert yang bertajuk ‘Sheila Majid 40 Years in Music’.
Konsert ini diadakan bagi merayakan empat dekat Sheila sebagai penyanyi lagenda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Nusantara.
Dianjurkan oleh Altus Prohouse, konsert ini bakal menemui peminat Sheila pada 8 November akan datang di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Tiket sudah pun mula dijual bermula dengan harga RM268 (CAT 4), RM368 (CAT 3), RM468 (CAT 2), RM568 (CAT 1), RM668 (VIP), RM768 (VVIP) dan RM3,400 (Party Zone).
Jangan lepaskan peluang untuk membeli tiket dan anda boleh membuat pembelian di laman web www.ticket2u.com.my/sheilamajid40.








