Penceramah bebas, Syamsul Debat tampil memberikan pandangannya mengenai tindakan isteri kepada pempengaruh, Caprice iaitu Farra Inalis yang meminta seorang pemuda untuk melutut minta maaf atas kesalahannya yang menghina cahaya mata mereka, Airiel Qashaf di media sosial baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: ‘Salah Ke Minta Melutut? Dia Cakap Anak Aku Macam Dajjal, Muka Hisap Batu’ – Isteri Caprice
‘Tak perlu jatuhkan maruah’
Memetik laporan Harian Metro, pemilik nama Syamsul Amri Ismail ini menjelaskan bahawa perbuatan meminta maaf dan memaafkan seseorang merupakan perkara yang paling berat untuk dilakukan namun ianya adalah satu perkara yang paling mulia di sisi Allah.
Sungguh pun begitu, perbuatan meminta maaf dan memaafkan tidak perlu meletakkan sebarang syarat apatah lagi sehingga mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain.
Selalu dalam ceramah, saya cakap minta maaf dan memaafkan ini syaratnya satu saja iaitu tidak perlu ada sebarang syarat.
Maknanya, kalau hendak memaafkan orang, jangan letak syarat, contohnya ramai orang kita ini kalau minta maaf kena macam itu atau macam ini sedangkan itu bukan caranya.
Cara Islam, yang meminta maaf dan memaafkan perlu ikhlas dan sama-sama merendahkan diri bukannya sampai menjatuhkan maruah orang lain.
Tambah penceramah berusia 46 tahun itu lagi, perkara tersebut juga tidak sewajarnya berlaku kerana ia bukanlah satu perbuatan yang dianjurkan Islam.
Tambahan pula, perkara tersebut berlaku di dalam bulan Syawal yang mulia.
Tak kisah hendak meminta maaf itu secara terbuka tetapi jangan sampai memalukan orang kerana Islam tak ajar macam itu.
Mungkin kita hendak cerita dekat orang lain dia itu buat apa, tetapi apa yang lebih penting kita hendak pelaku itu meminta maaf.
Bukan bermakna yang meminta maaf itu juga perlu meletakkan diri sampai macam itu sekali kerana sepatutnya pihak yang memaafkan juga perlu sama-sama merendahkan diri.
Terdahulu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Irfan dibawa berjumpa dengan isteri Caprice, Farra Inalis untuk memohon maaf selepas mengeluarkan kata-kata hinaan kepada anak mereka.
Dalam rakaman yang dikongsikan di Instagram, Farra dilihat sedikit beremosi sebelum meminta individu terbabit melutut di hadapannya.
Bagaimanapun, tindakan Farra telah menerima kecaman segelintir wargamaya dengan menyifatkan sebagai melampau.
Sekadar info, Caprice dan Farra mendirikan rumah tangga pada November 2022 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Airiel Qashaf yang dilahirkan pada Mac lalu.
Farra juga mempunyai seorang cahaya mata perempuan bernama Aleesya Sofea hasil perkahwinan terdahulu.
Sumber: Harian Metro