berita

Menang Atau Kalah Adat Bertanding – Shila Amzah

December 13th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Bukan mudah untuk membentuk karier sehingga berjaya mengharumkan nama negara. Lagi-lagi selepas 12 tahun berada didalam industri dan barulah kini, anak kepada ND Lala iaitu Shila Amzah telah mula membuka mata para pengkritik dan juga peminat di seluruh dunia.

Jika anda masih ingat, sebelum ini Shila kerap memuatnaik video-video beliau menyanyikan semula lagu-lagu popular ke laman Youtube. Jangan lupa, sekitar 10 bulan yang lepas, beliau hanyalah seorang penyanyi yang popular menerusi laman Youtube dan sedikit demi sedikit, penyanyi berbakat besar ini telah mula menempa nama di hati peminat.

Bukan sekadar penyanyi biasa, Shila yang mewarisi bakat dari bapanya juga telah memikat para peminat dengan lagu ciptaannya sendiri yang berjudul ‘Patah Seribu’. Lagu ini kemudiannya telah berjaya merangkul 2 trofi iaitu ‘Lagu Pop Terbaik’ dan ‘Anugerah Lagu Terbaik’ di Anugerah Industri Muzik ke 19.

Tidak cukup disitu, beliau berjaya mengalahkan pesaing-pesaing hebat seperti Yuna, Jaclyn Victor, Faizal Tahir dan juga Black untuk trofi ‘Power Vocal Award’ di Shout Awards 2012 yang juga telah berlangsung baru-baru ini.

Kejayaannya yang paling tidak dapat dilupakan sekali ialah apabila beliau berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China. Dia sekaligus mengalahkan lima lagi finalis-finalis hebat dari negara China, Korea Selatan, Singapura, Thailand, dan India.

Kini, pelakon yang sedang hangat bercinta dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad sekali lagi menggegarkan industri hiburan tempatan apabila beliau telah tercalon dalam dalam kategori ‘World Best Female Artist’ di anugerah bertaraf antarabangsa iaitu World Music Awards 2012 yang akan berlangsung di Miami, Amerika Syarikat pada 20 Disember ini.

Jika dilihat, saingannya bukan mudah kerana beliau bakal berentap bersama 40 orang lagi penyanyi-penyanyi yang hebat seperti Adele, Taylor Swift, Selena Gomez, Pink, Kelly Clarkson, Madonna dan juga Beyonce.

Namun, penyanyi yang sentiasa merendah diri ini mengaku beliau tidak mengharapkan apa-apa kemenangan pun selain hanya berhasrat untuk membuat persembahan dan memenuhi undangannya ke Amerika Syarikat untuk World Music Awards 2012 itu nanti.

“Menang atau kalah adat bertanding. Apapun, melihatkan senarai saingan yang sengit itu saya tidak meletakkan sebarang harapan. Namun, sekiranya menang di sana, saya anggap ia sekadar bonus dan rezeki daripada Allah.” – dipetik dari Harian Metro.

Tahniah buat penyanyi yang baru berusia 22 tahun ini kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Kredit gambar : Media Hiburan

SKIP THIS AD ×